Russia lancar serangan ke atas dua bandar terbesar Ukraine


KYIV: Russia menggempur dua bandar terbesar Ukraine dalam siri gelombang baharu serangan udara besar-besaran dilancarkan di negara itu.

Serangan itu menyebabkan sekurang-kurangnya lima orang awam terbunuh dan menggesa Barat membekalkan lebih banyak bantuan ketenteraan dengan segera.

Kementerian Dalam Negeri Ukraine mengesahkan sekurang-kurangnya 135 orang cedera dalam serangan peluru berpandu dan dron.

Jumlah itu termasuk 61 mangsa cedera di sekitar bandar Kharkiv serta 17 orang di ibu negara Kyiv.

Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky berkata, operasi menyelamat masih diteruskan kerana serangan itu turut menyebabkan kerosakan besar dan terkena kemudahan bekalan tenaga.

Russia meningkatkan serangan sepanjang waktu Tahun Baharu, dengan Presiden Vladimir Putin memberi amaran bahawa Ukraine tidak akan terlepas daripada hukuman ekoran serangan udara tentera Kyiv ke atas Belgorod menyebabkan 25 orang penduduk terkorban.      

Rakaman menunjukkan kepulan asap keluar dari bahagian hangus bangunan kediaman bertingkat di Kyiv yang mana Datuk Bandar Vitali Klitschko mengesahkan seorang wanita warga emas terbunuh dan 49 lagi cedera.

Pasukan keselamatan kemudian menemukan satu lagi mayat dari bangunan berkenaan.   

Menurut pegawai tempatan, seorang wanita berusia 91 tahun terbunuh dan puluhan orang cedera dalam serangan peluru berpandu ke atas bandar Kharkiv.

Sepasang suami isteri pula dilaporkan terbunuh dalam serangan di kawasan sekitar Kyiv.

Terdahulu, Russia mendakwa seorang lelaki terbunuh dan 11 orang cedera dalam siri serangan ke atas Belgorod.

Sementara itu, Zelensky menerusi ucapan video yang disiarkan setiap malam, mendakwa Russia melancarkan kira-kira 300 peluru berpandu dan lebih 200 dron sejak tiga hari lalu.

Katanya, serangan terbaharu itu bertujuan menyebabkan kemusnahan besar.       

“Trajektori itu ditetapkan khas oleh musuh untuk menyebabkan kerosakan sebanyak mungkin.

“Tiada negara lain yang pernah menangkis serangan serupa gabungan peluru berpandu dan dron termasuk peluru berpandu balistik,” katanya. – REUTERS





Source link

Leave a Reply