PARIS: Pemain tengah Manchester City dan Sepanyol, Rodri (gambar) dianugerahkan Ballon d’Or lelaki semalam selepas memenangi Liga Perdana empat kali berturut-turut dan Euro 2024, tetapi Real Madrid memboikot majlis itu.
Keputusan untuk memberi anugerah pemain terbaik dunia kepada pemain tengah itu mengejutkan, dengan pemenang Liga dan Liga Juara-Juara, pemain Real Madrid Vinicius Junior ramalkan sebagai pilihan.
Beberapa jam sebelum majlis di Paris, kelab Sepanyol itu mengumumkan bahawa delegasinya tidak akan menghadiri majlis itu di Teater Chatelet kerana kelab menganggap keputusan itu sebagai layanan tidak adil terhadap Vinicius.
Rodri, 28, memainkan peranan penting ketika City menyaingi Arsenal untuk memenangi kejuaraan Liga Perdana musim lalu dan dinamakan sebagai pemain terbaik kejohanan di Euro 2024 ketika Sepanyol muncul sebagai juara di Jerman.
Rodri bersikap diplomatik ketika menjawab soalan tentang ketidakhadiran Real dalam sidang media selepas anugerahnya.
“Mereka ada keputusan sendiri, mereka tidak mahu berada di sini atas alasan sendiri,” katanya. “Saya hanya fokus pada kelab saya dan rakan sepasukan saya.”
Walaupun penganjur Perancis itu menegaskan bahawa identiti pemenang adalah rahsia sulit, berita itu nampaknya telah bocor.
Pengurus City, Pep Guardiola menyifatkan Rodri sebagai pemain “yang terbaik dalam kedudukannya”.
“Dia boleh melakukan segala-galanya. Kualitinya, dia membaca permainan, mentalitinya, dia sentiasa bersedia,” kata Guardiola.
Di samping keupayaan mengumpan dan memenangi bola, bekas pemain Atletico Madrid itu mempunyai bakat untuk melakar gol penting untuk kelab dan negara.
Golnya memberi kemenangan Liga Juara-Juara pertama City pada 2023 tetapi dia juga menjaringkan gol penting untuk Sepanyol, seperti gol penyamaan dalam perlawanan pusingan 16 terakhir Euro 2024 menentang Georgia.
Rodri begitu penting buat Manchester City sehinggakan kelab kalah dalam empat perlawanan Liga Perdana, semuanya ketika dia tidak hadir.
City berada di tangga teratas Liga Perdana tetapi peluang mereka untuk memenangi kejuaraan domestik kelima berturut-turut telah terjejas pada September apabila Rodri mengalami kecederaan ligamen anterior cruciate, menyebabkan dia tidak dapat bermain untuk musim ini.
Pemenang kategori wanita, bintang Barcelona dan Sepanyol, Aitana Bonmati, 26, menyertai rakan sepasukannya di Barcelona, Alexia Putellas sebagai satu-satunya wanita yang pernah memenangi Ballon d’Or dua kali sejak anugerah itu diwujudkan pada 2018.
“Ini tidak boleh dicapai secara sendiri, saya sangat bertuah kerana dikelilingi oleh pemain yang menjadikan saya lebih baik setiap hari,” kata Bonmati.
Pasukan Catalan membolot semua trofi yang ada musim lalu, liga Sepanyol, Piala, Piala Super dan Liga Juara-Juara Wanita untuk musim kedua berturut-turut.