KUALA LUMPUR: Kerajaan menyalurkan RM608,000 kepada 107 mangsa yang mengalami kerugian akibat  hidupan liar yang memusnahkan  tanaman dan merosakkan harta benda.

Timbalan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Seri Huang Tiong Sii berkata, jumlah tersebut setakat Oktober tahun ini yang disalurkan melalui Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan).

Kata beliau, bantuan berkenaan disalurkan menerusi inisiatif Bantuan Kerugian Harta Benda dan Tanaman Akibat Serangan Hidupan Liar (BKHT) yang diperkenalkan sejak 29 Mac lepas.

“BKHT ialah bantuan dalam bentuk kewangan yang diberikan sekali sahaja (one-off) kepada kumpulan sasar yang mengalami kerosakan dan kemusnahan harta benda dan tanaman akibat hidupan liar tertakluk kepada syarat ditetapkan,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Zahari Kechik (PN-Jeli) yang ingin tahu langkah untuk membayar pampasan atau ganti rugi kepada mangsa yang terkesan dengan serangan hidupan liar terutamanya gajah dan harimau terhadap manusia serta harta benda.

Dalam pada itu, Tiong Sii berkata, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) turut memberikan bantuan kepada orang awam yang tercedera termasuk kepada ahli keluarga yang kehilangan nyawa akibat serangan hidupan liar.

“Bantuan itu dilakukan melalui Kumpulan Wang Amanah Bantuan Mangsa Serangan Binatang Buas,” katanya.

Sementara itu, beliau menasihati orang ramai supaya tidak melakukan provokasi atau tindakan seperti cubaan menghalau atau mendekati hidupan liar, seperti harimau jika berdepan dengan situasi mencemaskan.

“Orang ramai juga dinasihatkan supaya mengelakkan situasi panik dan bergerak secara perlahan-lahan untuk menjauhkan diri daripada harimau itu, selain berlindung di dalam rumah atau di tempat selamat sementara menunggu pihak berkuasa.

“Hubungi segera Perhilitan terdekat atau talian hotline 1800-88-515 selain talian kecemasan umum Polis Diraja Malaysia untuk melaporkan kejadian konflik hidupan liar untuk tindakan selanjutnya,” jelasnya.- UTUSAN





Source link

Leave a Reply