KUCHING: Kerajaan Sarawak memberi penghargaan berbentuk wang ringgit bernilai RM15,500 untuk idea kreatif sebagai tanda sokongan kepada pembangunan bakat jurugambar dan juruvideo yang membuat liputan temasya Sukan Malaysia (SUKMA) XXI Sarawak 2024, baru-baru ini.
Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak Datu Hii Chang Kii berkata, kesemua gambar menarik para pemenang akan diterbitkan di dalam ‘coffee table book.’
“Setiausaha SUKMA XXI Sarawak akan menerbitkan sebuah ‘coffee table book’ dengan mengepilkan kesemua gambar-gambar menarik ini untuk dicetak.
“Bukan sekadar buku, malah ia akan menjadi sebuah koleksi memori bersejarah yang telah membangkitkan idea kreatif para peserta.
“Buku tersebut akan dicetak serta dipertontonkan pada Makan Malam Penghargaan SUKMA XXI Sarawak nanti,” ujarnya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Penyampaian Hadiah Pertandingan Fotografi dan Video SUKMA XXI Sarawak 2024 di Bilik Gerakan SUKMA di Bangunan Baitulmakmur II di sini, hari ini.
Hii yang juga Ketua Pegawai Eksekutif SUKMA XXI Sarawak dan Para SUKMA XXI Sarawak ditemani Ketua Sekretariat SUKMA Sarawak Khairul Nizal Morshidi dan Naib Presiden Persatuan Kewartawanan Bahagian Kuching Zulazhar Sheblee.
Hii berkata, sebanyak 1,078 penyertaan diterima untuk peraduan fotografi yang dibahagikan kepada dua kategori iaitu terbuka dan belia serta 59 penyertaan untuk peraduan videografi.
“Pihak kami berasakan ini merupakan idea yang baik untuk diadakan pada setiap kali penganjuran kejohanan di Sarawak selepas ini,” tambahnya.
Hadiah kategori foto (terbuka) tempat pertama dimenangi oleh Ahmad Izzrafiq Alias yang membawa pulang RM3,000, Mohmad Nahari Naha (RM2,000) di tempat kedua dan Juna Medan (RM1,000) bagi tempat ketiga.
Hadiah saguhati untuk kategori tersebut bernilai RM200 disampaikan kepada Ahmad Alfian Hashim, Ghazali Bujang, Liew Kwong Yew, Muhammad Mikail Ong Abdullah dan Kho Chee Hui.
Sementara itu bagi kategori foto (belia) tempat pertama ialah Muhammad Haziq Aqil Abdul Halim yang membawa pulang RM2,000, Gregory Tang Wei (RM1,000) di tempat kedua, Azizan Yakub (RM750) ketiga.
Manakala hadiah sagu hati bernilai RM100 di sampaikan kepada Alexander Brian Nyawai Ngian, Haikal Nazhan Hamdan, Theodore Lee Soon Hur, Muhammad Nur Iqwan Bolhan dan Muhammad Aziem Danish masing-masing.
Untuk kategori video, Sylvester Alex Wong Sin Hee membawa pulang RM2,000 di tempat pertama, Yunus Yussop (RM1,000) di tempat kedua, Mohammad Faisal Ahmad (RM750) ketiga.
Hadiah sagu hati bernilai RM100 setiap satu disampaikan kepada Abdul Majid Azman, Abdul Wafi Nasip, Ain Farzana Ramli, Ismail Roslan dan Muhammad Asyraf Abd Halim.