PETALING JAYA – Media sosial pelumba berbasikal trek Jepun, Shinji Nakano diserang ‘netizen’ Malaysia ekoran didakwa menjadi punca Muhammad Shah Firdaus Sarom terjatuh sekali gus terlepas pingat di pentas Sukan Olimpik Paris 2024.

Menerusi tinjauan Kosmo! di Instagram Shinji, rata-rata rakyat Malaysia meluahkan rasa tidak puas hati kepada pelumba berusia 25 tahun itu.

Setakat ini, hantaran yang baru dimuat naik Shinji di atas kejayaannya meraih pingat gangsa sebentar tadi diserang bertubi-tubi sehingga mencecah lebih 30,000 komen.

“‘Shame on you’ (memalukan),” kata seorang pengguna.

Terdahulu, Kosmo! melaporkan misi pelumba berbasikal trek negara, Muhammad Shah Firdaus untuk membawa pulang sekurang-kurangnya pingat gangsa di Sukan Olimpik Paris 2024 berkecai selepas dirempuh Shinji pada aksi final sebentar tadi.

Pelumba berusia 28 tahun itu bermula dengan baik ketika bersaing di Velodrom de Saint-Quentin-en-Yvelines selepas berada dalam kedudukan ketiga namun segalanya berubah apabila berlaku insiden pelanggaran.

Ketika itu, pelumba Great Britain, Jack Carlin terlebih dahulu terjauh sebelum Nakano dilihat hilang kawalan sebelum merempuh Shah Firdaus dari arah belakang sekali gus melenyapkan harapan pelumba negara itu untuk berada di pentas podium.

Pingat emas menjadi milik pelumba Belanda, Harrie Lavreysen dan Matthew Richardson dari Australia membawa pulang pingat perak. – KOSMO! ONLINE





Source link

Leave a Reply