Pada bulan Julai yang lalu, realme telah memperkenalkan Watch S2, jam tangan pintar pertama mereka selepas hampir dua tahun. Walaupun baru sebulan, nampaknya peranti ini akan dilancarkan di pasaran Malaysia tidak lama lagi, kerana ia telah disenaraikan oleh beberapa peruncit.
Watch S2 akan hadir dengan dua pilihan tali silikon dan satu pilihan tali metal. Untuk harga, jam tangan pintar ini bermula dari RM499 bagi tali silikon, tetapi bagi pengguna yang mahukan tali metal, harganya sedikit lebih tinggi pada RM599. Tarikh rasmi pelancaran jam ini masih belum diketahui, tetapi ia dijangka akan dilancarkan segera memandangkan jenama tersebut juga akan melancarkan siri 13 Pro pada 19 Ogos.
Jam tangan ini dilengkapi dengan paparan sentuh AMOLED bulat berukuran 1.43 inci yang mempunyai kecerahan maksimum 600 nits, serta rangka keluli tahan karat. Dari segi ketahanan, ia mempunyai penarafan IP68 untuk ketahanan terhadap debu dan air serta mampu berfungsi dalam suhu antara -40°C hingga 70°C. Untuk perisian, ia dilengkapi dengan pembantu AI berkuasa GPT 3.5 dan generator wajah jam AI yang mampu mencipta imej berdasarkan teks.
Dari segi hayat bateri, brand menyatakan bahawa Watch S2 mampu bertahan sehingga 20 hari dengan penggunaan biasa, sementara mod siap sedia boleh meningkatkan tempoh tersebut kepada 38 hari. Dalam aspek kesihatan dan kecergasan, ia boleh menjejak lebih dari 110 jenis latihan dan dilengkapi dengan sensor untuk memantau kadar denyut jantung, tahap oksigen dalam darah, dan tidur, tetapi tidak mempunyai GPS terbina dalam.
(Sumber: [1][2][3])
Ikuti kami di Instagram, Facebook, Twitter atau Telegram untuk lebih banyak kemas kini dan berita terkini.