Rasuah RM500, penguat kuasa dipenjara dua bulan


TAWAU: Seorang penolong pegawai penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepengunaan (KPDNKK) dijatuhi hukuman penjara selama dua bulan dan denda RM 10,000 di Mahkamah Khas Rasuah, di sini hari ini.

Tertuduh, Aisha Batik, 43, didapati bersalah atas kesalahan menerima wang suapan sebanyak RM500 bagi melepaskan sebuah bot kayu yang menyeludup 10 tong gas petroleum cecair (LPG) iaitu kesalahan di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961.

Tertuduh yang merupakan pegawai penyiasat bagi kes berkenaan melakukan kesalahan menerima wang suapan pada 15 Ogos 2017, kira-kira pukul 4 petang di Jeti Pangkalan Polis Marin Wilayah 4.

Atas kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24 Akta yang sama.

Tertuduh didapati bersalah pada akhir pembelaan kes pada hari ini.

Hakim, Jason Juga menjatuhkan hukuman penjara dua bulan dan denda RM10,000 dan jika gagal dibayar boleh dipenjara selama tiga bulan.

Mahkamah turut membenarkan hukuman penjara terhadap tertuduh ditangguhkan untuk rayuan.

Walau bagaimanapun, mahkamah memerintahkan tertuduh supaya membayar denda RM 10,000 pada hari ini.

Tertuduh ditangkap semasa memberi keterangan di Pejabat SPRM Tawau pada 30 Ogos 2017 dan didakwa dimahkamah pada 20 Februari 2020. –UTUSAN





Source link

Leave a Reply