Rantai restoran popular TGI Fridays telah memfailkan kebankrapan di Amerika Syarikat selepas menghadapi cabaran kewangan yang berpanjangan dan kegagalan kerjasama dengan syarikat berasaskan UK, Hostmore.
TGI Fridays, yang dimiliki secara peribadi oleh TriArtisan Capital Advisors, telah memfailkan perlindungan kebankrapan Bab 11 di mahkamah kebankrapan Amerika Syarikat untuk Daerah Utara Texas pada 2 November.\
TGI Fridays memfailkan kebankrapan di Amerika Syarikat
Menurut Reuters, syarikat ini telah menyenaraikan aset dan liabiliti antara USD100 juta (RM437 juta) hingga USD500 juta (RM2.18 bilion).
TGI Fridays telah menjadi pilihan ramai di Amerika Syarikat sejak bar pertamanya dibuka di Manhattan, New York, pada tahun 1965.
Walaupun memfailkan kebankrapan, TGI Fridays mengesahkan bahawa operasi di 39 restoran “Thank God it’s Friday!” di AS akan berterusan, kerana mereka telah mendapatkan komitmen pembiayaan untuk menyokong operasi.
Pengerusi eksekutif TGI Fridays, Rohit Manocha, menyatakan bahawa cabaran utama kewangan syarikat adalah akibat daripada COVID-19 dan struktur modal syarikat. Dengan itu, proses penstrukturan semula akan membolehkan restoran mereka beroperasi dengan infrastruktur korporat yang lebih baik untuk mencapai potensi maksimum.
TGI Fridays tutup semua restorannya di United Kingdom
Pada bulan September, Hostmore, sebuah pengendali restoran British, membatalkan rancangannya untuk membeli TGI Fridays selepas mereka dipecat sebagai pengurus TGIF Funding, yang memiliki hak untuk mengutip royalti daripada francais restoran.
Hostmore sebelum ini mengendalikan TGI Fridays di Britain melalui unitnya, Thursdays (UK). Baru-baru ini, sahamnya merosot 90% akibat berita tersebut, dan syarikat itu mengumumkan niat untuk memasuki pentadbiran setelah terbeban dengan hutang.
Pentadbir Thursdays (UK) mengumumkan pada bulan Oktober bahawa 35 restoran TGI Fridays di negara tersebut telah ditutup, menyebabkan 1,012 kehilangan pekerjaan.
Kebankrapan TGI Fridays di Amerika Syarikat tidak akan menjejaskan francais antarabangsa, termasuk di Malaysia
Kembali ke Amerika Syarikat, selepas pengumuman kebankrapan pada hari Sabtu, rangkaian ini menyatakan bahawa operasi biasa akan diteruskan di semua lokasi francais sama ada di dalam negara ataupun antarabangsa.
TGI Fridays Franchisor, yang memiliki jenama dan harta intelektrual, telah memberikan francais TGI Fridays kepada 56 francaisi di 41 negara, termasuk Malaysia, yang dioperasikan oleh CRAVEAT.
Masih tidak jelas bagaimana pengisytiharan kebankrapan di Amerika Syarikat akan mempengaruhi operasi TGI Fridays di Malaysia.
Apa pendapat anda tentang situasi ini? Kongsikan pendapat anda di ruangan komen.
Baca juga: Tamatnya Satu Era? Tupperware Mungkin Akan Memfailkan Kebankrapan Selepas Hampir 80 Tahun Beroperasi