KUALA LUMPUR: Beregu lelaki No. 2 dunia, Satwiksairaj Rankireddy-Chirag Shetty membenam juara dunia, Kang Min Hyuk-Seo Seung Jae dari Korea Selatan untuk menempah laluan ke perlawanan akhir pada Kejohanan Badminton Terbuka Malaysia di Axiata Arena, dekat sini, hari ini.

Dalam aksi separuh akhir tersebut, pasangan India itu mengambil masa selama 46 minit untuk menundukkan beregu No. 3 dunia tersebut menerusi kemenangan 21-18, 22-20.

Min Hyuk-Seung Jae yang baru sahaja merangkul gelaran Jelajah Dunia Akhir di China, Disember lalu, berpeluang mengheret permainan ke rubber set ketika mereka mendahului 20-18, bagi mengulangi persembahan yang dipamerkan ketika menundukkan beregu negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik pada suku akhir, semalam.

Namun, aksi cemerlang menerusi pukulan ‘smash’ kencang yang dipamerkan Rankireddy-Shetty memerangkap Min Hyuk-Seung Jae dan sekali gus, menyerahkan kemenangan straight set kepada beregu India tersebut.

Pencabar yang menanti Rankireddy-Shetty dalam perlawanan akhir ialah beregu No. 1 dunia, Liang Wei Keng-Wang Chang setelah gandingan dari China itu menewaskan pasangan Jepun, Takuro Hoki-Yugo Kobayashi 21-12, 19-21, 21-13 dalam masa 50 minit.

Sementara itu, dalam aksi perseorangan lelaki, pemain No. 9 dunia dari Denmark, Anders Antonsen menewaskan wakil Taiwan, Lin Chun Yi 21-16, 21-7 untuk meraih pertembungan dengan Shi Yu Qi dari China pada final.

Yu Qi yang menghuni ranking No. 6 dunia itu mengetepikan rakan senegara Antonsen yang juga merupakan juara bertahan dan jaguh No. 1 dunia, Viktor Axelsen menerusi kemenangan 21-12, 19-21, 21-17.

Antonsen ketika ditemui pemberita berkata, persembahannya, hari ini, adalah antara yang terbaik pernah dipamerkan.

“Ini kali pertama saya bermain menentang Chun Yi dan saya pasti akan bertemu dengannya lagi pada masa akan datang.

“Dia seorang pemain yang memiliki pukulan ‘smash’ yang kencang dan kualiti permainan yang baik, jadi, saya sangat berpuas hati dengan kemenangan, hari ini,” katanya.

Mengulas mengenai kemaraan buat kali pertama ke final dalam kejohanan berstatus Super 1,000 sejak kali terakhir berbuat demikian pada 2019, Antonsen memberitahu, selama ini, dia bekerja keras untuk berada di tahap sekarang selepas ditimpa kecederaan.

Jelasnya, musim lepas berjalan dengan lancar apabila dia kembali beraksi secara konsisten.

“Saya rasa tahap permainan saya secara keseluruhan agak bagus, jadi, saya mahu melakukan lebih baik pada tahun ini,” ujarnya.

Mengulas pula mengenai perlawanan akhir berdepan Yu Qi, pemain berusia 26 tahun itu berkata, jaguh China tersebut bukanlah calang-calang pencabar dan dia meletakkan dirinya sebagai ‘underdog’.

“Saya cuma turun beraksi, esok, dan cuba memberikan yang terbaik tanpa sebarang tekanan,” tambahnya. – UTUSAN





Source link

Leave a Reply