PONTIAN – Orang ramai di daerah ini termasuk nelayan diingatkan supaya berhati-hati dan berwaspada ketika berada di kawasan pantai memandangkan berlakunya fenomena air pasang besar bermula semalam sehingga 20 September ini.

Jurucakap Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Pontian memberitahu, ketinggian ombak dalam tempoh tiga hari adalah 3.4 meter berbanding 1.5 hingga 2.5 meter pada hari-hari biasa.

Katanya, pihaknya telah menggerakkan kakitangan JPS untuk membuat rondaan dibeberapa lokasi ‘ hot spot ’ seperti Kukup, Rambah, Tambak ( Pusat Perdagangan Pontian) dan sebagainya.

“Fenomena air pasang besar berlaku di Tambak pada malam tadi sehingga sampai ke kawasan Bank Rakyat Pontian sejauh kira-kira satu kilometer dari pantai,” katanya ketika dihubungi pagi ini.

Orang ramai yang berkunjung ke Tambak malam tadi terpaksa berpatah balik semula disebabkan kawasan itu dilanda air pasang besar menyebabkan beberapa buah kenderaan terkandas.

Tambah Jurucakap JPS, pihaknya meminta semua kakitangannya yang bertugas di pintu-pintu air supaya melaporkan segera sekiranya berlaku limpahan air ke kawasan penempatan penduduk disebabkan fenomena tersebut.

Sementara itu, Seketeriat Jawatankuasa Bencana Daerah Pontian (JBPD), Kapt (A )Muhammad Izuddin Ali berkata, pihaknya akan melakukan pemantauan mengenai fenomena air pasang yang berlaku itu. – KOSMO! ONLINE





Source link

Leave a Reply