PETALING JAYA: Penulis blog, Raja Petra Kamarudin meninggal dunia kerana jangkitan kuman dalam darah dan merebak ke paru-paru sehingga hati.
Perkara itu dimaklumkan isteri Allahyarham, Marina Lee Abdullah menerusi satu hantaran Facebook Malaysia Today, sebentar tadi.
Katanya, suaminya telah meninggal dunia pada pukul 11.26 malam semalam di Manchester, United Kingdom (UK).
“Semoga Allah letakkan beliau bersama roh syuhada dan orang salihin,” katanya.
Dalam pada itu, Malaysia Today melaporkan, urusan pengebumian Raja Petra akan dimaklumkan dalam masa terdekat.
Terdahulu, anak Raja Petra, Raja Sara mengesahkan kepada Utusan Malaysia bahawa ayahnya meninggal dunia semalam.
Beliau mengendalikan laman web Malaysia Today, yang menerbitkan ulasan dan artikel mengenai politik Malaysia, yang sering menjadi kontroversi.
Raja Petra telah menetap di Manchester selama beberapa tahun. – UTUSAN