Qatar terus misi pertahankan kejuaraan Piala Asia, tewaskan Iran


DOHA: Qatar meneruskan misi untuk mempertahankan Piala Asia selepas mara ke pentas akhir apabila menundukkan Iran 3-2 pada aksi separuh akhir di Stadium Al-Thumama, sebentar tadi.

Keputusan itu menyaksikan Qatar akan berdepan Jordan bagi menentukan gelaran ‘Raja Asia’ di Stadium Lusail, Sabtu ini.

Iran yang merupakan pasukan nombor dua terbaik Asia sekali lagi mengalami nasib sama seperti edisi 2019 iaitu terkandas di separuh akhir.

Dalam perlawanan itu, Iran terlebih dahulu membuka tirai jaringan seawal minit ketiga menerusi jaringan Sardar Azmoun.

Iran hampir menggandakan jaringan pada minit ke-11 tetapi peluang itu disia-siakan Mehdi Taremi.

Gol penyamaan Qatar hadir pada minit ke-16 menerusi rembatan deras Jasssem Gaber Abdulsallam yang tertampan pemain tengah Iran Saeid Ezatolahi sebelum bola menerjah jaring.

Akram Afif memastikan Qatar memasuki bilik persalinan dengan kelebihan satu gol selepas meledak gol pada minit ke-43 sekali gus tuan rumah mendahului 2-1.

Begitupun, Iran hanya memerlukan lima minit sebaik sahaja babak kedua bersambung apabila Jahanbakhsh menyempurnakan sepakan penalti hasil bantuan Video Bantuan Pengadil (VAR).

Ketika kedudukan terikat 2-2, kedua-dua pasukan saling berbalas serangan untuk mencari jaringan.

Namun gol kemenangan Qatar akhirnya hadir pada minit ke-82 menerusi ledakan Almoez Ali dan hasrat Iran untuk bangkit bertambah sukar selepas Shoja Khalilzadeh dilayangkan kad merah pada minit ketiga masa tambahan.

Kemenangan itu menyaksikan Qatar yang juga juara bertahan mengesahkan slot ke final buat kali kedua berturut-turut.

Terdahulu, Jordan mencipta sejarah mara ke final Piala Asia buat kali pertama selepas menumbangkan antara pasukan pilihan, Korea Selatan 2-0 di Stadium Ahmed bin Ali.-AGENSI





Source link

Leave a Reply