Produk pelancongan Baling dinaik taraf


BALING: Daerah Baling bakal menjadi destinasi ekopelancongan yang turut menyasarkan pelancong luar negara apabila beberapa produk pelancongannya dinaik taraf menjelang Tahun Melawat Kedah 2025 dan Tahun Melawat Baling 2025.

Pegawai Daerah Baling, Datuk Abdul Gafar Yahya berkata, antara produk pelancongan yang diperkenalkan adalah Ulu Legong dan beberapa gua seperti Gua Sireh di Gunung Baling dan  Gunung Pulai.

“Selain itu, beberapa kawasan riadah dan perkhemahan di Kampung Lubuk Pedati dan aktiviti menjelajah serta mendaki Gunung Baling dan Gunung Pulai antara yang berada dalam kerangka pelancongan Baling.

“Kita akan melihat peruntukan bersesuaian untuk kawasan-kawasan berpotensi pelancongan seperti di Kampung Ulu Legong, Kampung Kuala Kedua, Kampung Lubuk Pedati dan Kampung Weng,” katanya.

Beliau ditemui selepas merasmikan Majlis Baling Bercahaya di persisiran Sungai Ketil di sini.

Abdul Gafar berkata, mengikut perancangan ekonomi negeri dan Plan Malaysia, terdapat tiga gua di Gunung Baling dan Gunung Pulai akan dijadikan mercu tanda ekopelancongan daerah itu.

“Jajaran Sungai Ketil yang dibangunkan dengan kos RM250,000 dijangka mampu menggamit kedatangan pelancong sama ada dari dalam mahupun luar negara untuk melancong dan melawat kawasan ini.

“Malah, kita giat menyediakan pusat riadah, tapak perkhemahan, laluan joging dan sebagainya sambil menikmati keindahan alam semula jadi di sepanjang sungai dan kaki Gunung Baling serta Gunung Pulai untuk memberi nilai tambah kepada aktiviti pelancongan Baling,” katanya. – UTUSAN





Source link

Leave a Reply