BINTULU: Pelumba Team DSM-Firmenich PostNL, Max Poole, telah meraih gelaran juara keseluruhan (Jersey Hijau) pada Le Tour de Langkawi (LTdL) 2024, perlumbaan berbasikal terkemuka di Asia.
Pembalap berusia 21 tahun dari Britain ini telah mengekalkan Jersey Hijau sejak memenanginya pada Peringkat Ketiga, dengan masa keseluruhan 26 jam, 27 minit dan 44 saat untuk lapan peringkat LTdL, walaupun hanya berjaya menamatkan perlumbaan di tempat ke-35 pada peringkat terakhir hari ini.
Pesaing dari JCL Team UKYO, Thomas Pesenti, menamatkan perlumbaan di tempat kedua dengan ketinggalan 0.13s, sementara Unai Iribar Jaurgei dari Equipo Kern Pharma mengambil tempat ketiga (0.20s di belakang).
“Saya sedikit kecewa kerana prestasi saya menurun apabila kami kehilangan seorang pelumba (Johan Dorussen). Jadi, agak sukar untuk kami merancang taktik. Namun, semua orang melakukan tugas mereka dengan baik,” kata Poole.
Sebelum itu, pelumba Itali Matteo Malucelli dari JCL Team UKYO mencatat tiga kemenangan peringkat berturut-turut apabila beliau menamatkan perlumbaan dalam masa 3:07.38s, diikuti oleh Arvid De Kleijn dari Tudor Pro Cycling Team di tempat kedua dan Gleb Syritsa dari Astana Qazaqstan Team di tempat ketiga.
Dengan kejayaan tersebut, Malucelli menguasai Jersey Oren (Pelumba Terbaik) dengan 80 mata, hanya dua mata di depan De Kleijn, manakala Syritsa menamatkan dengan 57 mata.
Pelumba BH-Burgos, Mario Aparicio Munoz, membawa pulang Jersey Polka Dot (Raja Gunung) dengan mengumpul 27 mata, diikuti oleh Poole dengan 22 mata dan Anthon Charmig dari Astana Qazaqstan Team dengan 12 mata.
Jersey Putih (Pelumba Terbaik Asia) milik Manabu Ishibashi dari JCL Team UKYO dengan masa 26:30:02s, diikuti rakan sepasukannya Yuma Koishi (2.41s di belakang) dan Keigo Kusaba dari Aisan Racing Team (2.45s di belakang).
Sementara itu, Equipo Kern Pharma muncul juara dalam klasifikasi umum pasukan dengan masa keseluruhan 79:24:12s, diikuti oleh Astana Qazaqstan Team (1.31s di belakang) dan Polti Kometa (1.40s di belakang).
Pasukan negara, Malaysia Pro Cycling (MPC), meraih tempat sebagai pasukan Asia ketiga terbaik dengan masa 79:58.46s, di belakang JCL Team UKYO (79:35.36s) dan pasukan kebangsaan Thailand (79:58.24s).