Polis siasat Papagomo keluar kenyataan mengaibkan Perdana Menteri


PETALING JAYA : Satu siasatan dijalankan pihak polis ke atas blogger kontroversi, Papagomo atau nama sebenarnya Wan Muhammad Azri Wan Deris atas kenyataannya yang mengaibkan Perdana Menteri.

Kenyataan dibuat lelaki berkenaan menerusi satu hantaran video secara langsung (live), kelmarin.

Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (Siasatan/Perundangan) Bukit Aman, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, hantaran video berdurasi 1 jam 32 minit dan 50 saat bertajuk ‘DSAI (Datuk Seri Anwar Ibrahim) Penyakit Misteri Tiada Penawar AIDS’  dimuat naik di YouTube Channel ‘Sir Azri’.

“Siasatan kini dijalankan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas USJT), Bahagian Pendakwaan / Undang-Undang (D5), Jabatan Siasatan Jenayah, Bukit Aman.

“Siasatan dijalankan mengikut Seksyen14 Akta Kesalahan Kecil 1955, Seksyen 504 Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia Malaysia 1998,” katanya dalam satu kenyataan malam ini.

Mengulas lanjut, kata beliau, kes masih di peringkat siasatan dan orang ramai dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi atau komentar yang boleh mengganggu proses siasatan.

Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan orang ramai tidak menyalahgunakan platform media sosial untuk mengulas atau memanipulasi isu-isu sehingga menyentuh isu ketenteraman awam, prinsip moral, fitnah atau pengapian apa-apa kesalahan.

“Pihak PDRM akan mengambil tindakan tegas tanpa kompromi terhadap mana-mana pihak dikesan melakukan perkara sedemikian,” jelasnya. – UTUSAN





Source link

Leave a Reply