KUALA LUMPUR: Mencampurkan pelbagai jenis dadah dalam jus minuman sebelum dijual di pusat hiburan dan parti persendirian di sekitar Lembah Klang. 

Itu modus operandi sindiket memproses dan mengedar dadah didalangi lelaki berusia 29 tahun yang ditumpaskan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam lima serbuan di sekitar Lembah Klang pada Selasa hingga kelmarin. 

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd. Kamarudin Md. Din berkata, seramai enam individu berusia 19 hingga 40 tahun ditahan dalam serbuan di sekitar Kajang dan Cheras. 

Katanya, siasatan mendapati sindiket tersebut menjadikan kondominium mewah sebagai tempat memproses dan menyimpan bekalan sebelum diedar di pusat hiburan di sekitar Lembah Klang serta pelanggan yang menganjurkan parti persendirian. 

Jelas beliau, setiap jus minuman dijual dengan harga RM180 hingga RM300 bergantung kepada permintaan kuantiti dan kandungan dadah.

“Kita berjaya mengesan trend terbaharu sindiket yang dipercayai mula bergiat aktif sejak pertengahan tahun lalu.

“Siasatan lanjut mendapati pekerja sindiket dibayar upah menjalankan kegiatan ini kira-kira RM30,000 dan mendapat keuntungan lumayan hasil aktiviti ini,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Daerah Cheras di sini, hari ini. 

Menurut Mohd. Kamarudin, dalam operasi itu, pihaknya berjaya merampas pelbagai jenis dadah dianggarkan bernilai RM448,850.

“Antara dadah dirampas 54.55 liter, 1.68 kilogram (kg) serbuk MDMA, 0.14 kg ketamin, 0.16 kg ganja, 5 kg serbuk ekstasi, 550 pil eramin 5 dan 2,900 pil ekstasi.

“Jumlah dadah yang dirampas dianggarkan boleh digunakan oleh seramai 27,000 orang penagih,” katanya. 

Tambah beliau, pemeriksaan lanjut mendapati empat tangkapan positif dadah jenis ketamin manakala seorang lagi mempunyai rekod lampau berkaitan dadah. 

Jelasnya, pelbagai aset milik suspek turut dirampas termasuk tiga kenderaan mewah, wang tunai dan barang kemas dianggarkan bernilai RM489,408.

“Kesemua suspek direman selama tujuh hari bermula 17 hingga 23 Januari bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Kita percaya berjaya menumpaskan sindiket pengedaran dadah bagi pasaran tempatan terutama di Lembah Klang. 

“Bagaimanapun, JSJN kini mengesan saki-baki sindiket yang masih bebas untuk dibawa ke muka pengadilan,” ujarnya.

Beliau berharap masyarakat akan terus menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti pengedaran dadah yang berlaku di sekeliling mereka melalui Hotline JSJN di talian 012-2087222. – UTUSAN





Source link

Leave a Reply