Polis lengkapkan siasatan kematian pelajar yang dipercayai dilanggar oleh pegawai kanan polis.


IPOH: Polis sedang melengkapkan kertas siasatan kes seorang pelajar lelaki berusia 17 tahun yang maut dipercayai dilanggar kenderan dipandu pegawai kanan polis dalam kejadian di Jalan Taman Jati, Meru di sini semalam.

Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd. Yusri Hassan Basri berkata, siasatan segera dijalankan daripada pelbagai sudut sebelum kertas pendakwaan berkenaan diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan selanjutnya.

Katanya, setakat ini, seramai tujuh saksi bebas telah tampil memberi keterangan.

“Pihak polis tidak akan berkompromi atau melindungi mana-mana pihak dalam kes ini tidak kira siapa pun mereka mahupun apa latar belakang individu terlibat.

“Siasatan secara terperinci dan telus akan dijalankan bagi memberi keadilan kepada semua. Siasatan akan dilengkapkan secepat mungkin untuk diserahkan kepada pihak pendakwaan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menziarahi keluarga Muhammad Zaharif Affendi Muhd Zamrie, 17, di Taman Chepor Sentosa di Chemor di sini hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Ketua Polis Perak, Datuk Azizi Mat Aris dan Pengarah Pendidikan Perak, Datuk Mohamad Fauzi Mahson.

Menurut Mohd. Yusri, pihaknya akan mendapatkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dan video papan pemuka kenderaan di sekitar kawasan kejadian bagi membantu siasatan.

Katanya, orang ramai diingatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi atau kenyataan lebih awal daripada pihak berkuasa kerana dibimbangi menganggu siasatan.

“Saya sebagai Ketua Polis negeri beri jaminan tidak berkompromi, kita akan pastikan kes ini mendapat kebenaran mengikut undang-undang,” katanya.

Terdahulu, seorang pegawai kanan polis berpangkat Deputi Superintenden dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah direman tiga hari bagi membantu siasatan kes langgar dan seret pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jati.

Perintah tahanan reman terhadap lelaki berusia 44 tahun itu dikeluarkan oleh Majistret Farah Nabihah Muhamad Dan dalam prosiding yang dijalankan di lokap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh.

Tempoh reman selama tiga hari itu berlangsung sehingga Isnin depan. – UTUSAN





Source link

Leave a Reply