KOTA BHARU: Polis Kelantan menyaman 60 warga asing atas pelbagai kesalahan trafik sepanjang Januari sehingga Ogos kata Pemangku Ketua Polis Negeri DCP Mohd Ali Tamby.
Beliau berkata kesalahan utama yang direkodkan ialah tiada lesen memandu (28), tiada perlindungan insurans (11), cukai jalan tamat tempoh (10), tidak memakai topi keledar (enam) dan aksesori tidak sempurna (lima).
“Dalam tempoh itu juga polis telah membuat pemeriksaan ke atas 537 pemandu dan penunggang warga asing membabitkan 145 warga Thailand, Myanmar (124), Bangladesh (118), Pakistan (90) dan Indonesia (60).
“Polis tidak akan berkompromi dengan kesalahan seperti ini dan rakyat negara ini dinasihatkan tidak meminjam atau menjual kenderaan kepada warga asing sesuka hati, tanpa mengambil kira kesannya ke atas pengguna jalan raya yang lain,” katanya selepas perhimpunan bulanan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan hari ini.
Tahun lepas polis Kelantan telah mengeluarkan saman ke atas 167 warga asing dengan kesalahan utama tidak memiliki lesen memandu melibatkan 49 saman.