KUANTAN: Polis membuka dua kertas siasatan terhadap pemandu treler yang merempuh sebuah rumah di Kilometer 5 Jalan Pekan-Rompin dekat Kampung Ketapang Hilir, Pekan pada Sabtu lepas hingga mengakibatkan dua kematian.
Ketua Polis Pahang Datuk Seri Yahaya Othman berkata siasatan itu akan dijalankan di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952.
āPemandu treler masih direman hingga esok dan sama ada akan disambung reman atau tidak bergantung kepada siasatan.
āSetakat ini kita masih lagi dalam proses melengkapkan siasatan, apabila sudah lengkap kita akan tuduh pemandu treler tersebut,ā katanya kepada media selepas Majlis Perhimpunan Bulanan Polis di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang di sini hari ini.
Pemandu berusia 40 itu yang juga disahkan positif dadah jenis methamphetamine direman empat hari dan akan berakhir esok.
Dalam insiden pada 4.15 pagi itu, treler membawa muatan siling kapur dari arah Johor Bahru, Johor menghala ke Kuantan dipercayai hilang kawalan di selekoh kiri dan terbabas ke laluan bertentangan sebelum merempuh rumah yang berada di sebelah kanan jalan.
Tragedi itu menyebabkan Nurnazatul Fasiha Nasruddin, 32, maut di tempat kejadian manakala adiknya Mohd Waldon Faris, 21, meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di Hospital Pekan.
Ibu bapa mangsa Norrulaini Mohd Hassan, 54, dan Nasruddin Othman, 60, serta rakan Mohd Waldon Faris, Muhammad Gabriel Miqhael Muhammad Faidzal, 19, yang turut berada dalam rumah berkenaan mengalami kecederaan dan dirawat di hospital sama.