
JOHOR BAHRU: Pihak berkuasa digesa agar mengambil tindakan tegas atas satu program larian yang dilihat mempunyai unsur Lesbian Gay Biseksual Transgender (LGBT) yang tukar baru-baru ini.
Ketua Penerangan Badan Perhubungan PAS Negeri Johor, Abu Irfan Muhammad Al-Urduni berkata, program larian tersebut yang disertai oleh golongan LGBT itu dilaporkan berlaku di Kota Tinggi.
“Aktiviti yang tidak bermoral yang boleh mengancam sensitiviti masyarakat khasnya umat Islam dan ianya suatu yang bercanggah dengan perlembagaan negara yang meletakkan Islam sebagai Agama Persekutuan.
“Ia juga bertentangan dengan budaya kesopanan masyarakat Johor yang mempunyai nilai peradaban dan sosial yang mulia,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook rasmi PAS Johor, hari ini.
Menurut beliau, PAS Johor turut menzahirkan ucapan tahniah tahniah kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Kerajaan Negeri Johor yang segera telah mengambil tindakan ke atas pelanggaran ini.
“Siasatan yang telus dan tindakan yang tegas perlu diambil ke atas pihak terlibat bagi membendung gejala sosial dan perilaku yang merosakkan agar ianya tidak menjadi ikutan kepada generasi akan datang di samping penguatkuasaan yang berterusan.
“Semoga negeri Johor akan terus terpelihara daripada perkara mungkar yang mengundang kemurkaan Allah SWT,” katanya. – HARAKAHDAILY 6/10/2024