SEPANG: Hebat dan luar biasa. Itu kesimpulan mengenai keunggulan perlumbaan permotoran berprestij PETRONAS MotoGP 2024, Ahad lalu
Di bawah terik matahari dengan suhu 31 darjah celcius, Litar Antarabangsa Sepang (SIC) menjadi saksi kecemerlangan Malaysia sebagai tuan rumah, terutama PETRONAS sebagai penaja utamanya.
Kehangatannya bermula sejak Jumaat dengan pelbagai acara pembuka tirai karnival permotoran yang menyemarakkan SIC di hujung minggu.
Dari aksi pemanas badan di garis permulaan, sehingga pada acara kemuncak pada petang minggu, semuanya meninggalkan kenangan betapa unggul dan menggamitnya sukan permotoran dua roda itu.
Di atas langit cerah membiru SIC, PETRONAS MotoGP 2024 pastinya berbekas dalam hati sanubari setiap yang hadir — baik buat peminat mahu pun tetamu undangan dan orang biasa yang berpayung di sekeliling litar.
Kemuncak perlumbaan pada Ahad begitu sensasi, bermula dengan Moto3 dan Moto2 sebelum ke final MotoGP yang menyaksikan persaingan sengit antara Pecco Bagnaia dan Jorge Martin.
Ini merupakan pusingan ke-20 dalam kalendar global MotoGP, sekali gus menampilkan aksi yang sangat mendebarkan.
Biarpun ramalan awal menjangka adanya hujan, tapi ternyata panas sampai ke petang. Mendung seketika berarak lalu, meninggalkan haba membahang litar dan mentari memancar dari ruang langit Sepang.
Perlumbaan motosikal berprestij itu turut membawakan aura tersendiri, dengan kehadiran luar biasa peminat sukan motosikal dari serata pelusuk tanah air.
Mengikut laporan, jumlah kehadiran penonton kali ini direkodkan meningkat kepada 184,923 orang berbanding 182,912 pada tahun lepas.
Seperti kelazimannya, perlumbaan bertaraf antarabangsa itu semestinya mendapat liputan ratusan media seluruh dunia selain pelbagai media tempatan Malaysia dari berbagai platform — elektronik dan konvensional.
Utusan Borneo Sabah antara enam wakil media Sabah yang diterbangkan ke SIC oleh PETRONAS untuk merasai keunggulan dan aura MotoGP kali ini.
Turut diundang wakil-wakil media dari Sarawak serta semua wilayah di Semenanjung — dari Selatan hingga ke Timur, Utara dan Tengah — yang berkumpul di Moxy Putrajaya, tempat penginapan selama dua malam.
Pagi Ahad, selepas bersarapan, rombongan media penuh semangat dibawa bergerak awal ke SIC lantaran penganjur menjangka kesesakan lalu lintas di sepanjang laluan.
Ternyata benar, perjalanan tidak semulus diharapkan kerana tersekat dalam deretan kenderaan bertali-arus yang bergerak perlahan.
Ditempatkan di perkampungan VIP, Utusan Borneo mendapat peluang istimewa untuk turun ke lapangan sebelum sesi pemanas badan, dan sekali lagi sebelum perlumbaan final bermula.
Di sini, penulis dapat menyaksikan bagaimana pasukan-pasukan bertanding membuat persiapan akhir selain melihat gelagat penunggang handalan secara lebih dekat.
Dari jarak dekat, deruman enjin benar-benar mengegar litar SIC yang merupakan salah satu venue perlumbaan paling ikonik di Asia. Terasa litar seperti bergegar dipanah halilintar.
Nasib baik setiap wartawan dibekalkan dengan penutup telinga untuk mengurangi kesan hingar-bingar bunyi puluhan motosikal yang mengambil bahagian di setiap kategori dipertandingkan.
SIC, yang terkenal dengan trek mencabar sepanjang 5.5 km, telah menjadi tuan rumah MotoGP sejak tahun 1999.
Ia lebih bermakna bagi PETRONAS, sebagai penaja utama MotoGP sejak 2022, kerana meraikan ulangtahun ke-50 tahun ini, dengan mengangkat tema `Bersama untuk masa depan’.
Menerusi MotoGP, PETRONAS memainkan peranan penting menyediakan pengalaman perlumbaan bertaraf dunia dan memacu inovasi bersama Dorna Sports.
MotoGP tahun ini juga mencipta sejarah tersendiri apabila ia turut dihadiri Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau tiba di SIC sebelum bermula persaingan akhir, disambut Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli Abd Halim serta Pengerusi SIC Tan Sri Mohamed Azman Yahya.
Perdana Menteri beramah mesra bersama pengamal media tempatan dan antarabangsa yang membuat liputan, berkunjung ke Pavilion Petronas dan Rakan Muda yang terletak di perkarangan SIC.
Pada Moto GP kali ini, tumpuan terarah kepada persaingan di antara Pecco Bagnaia dan Jorge Martin di mana pada akhirnya, Bagnaia menafikan kejuaraan dunia Jorge.
Kemenangan Bagnaia dari Ducati Lenovo, mengheret persaingan merebut kejuaraan dunia ke pusingan terakhir di Barcelona, Sepanyol pada 15-17 November depan.
Pusingan penentu itu dipindahkan ke Barcelona selepas venue asal, Valencia, terpaksa dibatal susulan banjir besar yang melanda daerah berkenaan.
Seusai perlumbaan tamat dan upacara penyampaian hadiah selesai, ribuan penonton membanjiri lapangan untuk merakam foto kenangan dan mengabadikan pengalaman MotoGP.
Ramai juga tidak berganjak dari tempat duduk kerana mungkin mahu menikmati auranya sampai ke penghujung acara.
Dari SIC, pergerakan balik media ke tempat penginapan mengambil masa sekali ganda lamanya berikutan kesesakan lalu lintas dari pelbagai arah.
Yang pasti, PETRONAS MotoGP 2024 meninggalkan kenangan manis dan berharga buat pengamal media dari Sabah.
Tahniah kepada PETRONAS atas kejayaan penganjuran terbaik kali ini. Sama-sama kita menantikan kejuaraan dunia yang bakal ditentukan di Barcelona, dalam tempoh kira-kira dua minggu lagi (15-17 November).