KUALA LUMPUR – Nama pengendali kelahiran Australia, Peter Cklamovski kini menjadi sebutan pilihan utama untuk mengisi jawatan ketua jurulatih baharu skuad Harimau Malaya.
Menurut laporan media dari negara itu, Cklamovski telah meninggalkan kelab Jepun, FC Tokyo selepas saingan Liga J1 musim ini berakhir.
Cklamovski telah membimbing kelab tersebut selama satu musim bermula tahun 2023.
Jurulatih berusia 46 tahun itu mempunyai pengalaman luas dalam arena bola sepak antarabangsa apabila memainkan peranan penting bersama Ange Postecoglou ketika Australia memenangi temasya Piala Asia 2015.
Cklamovski juga membantu Yokohama F. Marinos memenangi Liga J1 pada 2019.
Selain bersama skuad senior, dia juga pernah menjadi pembantu dalam skuad B-17 Australia pada 2017 dengan memiliki pengalaman bekerja bersama pemain muda dan juga senior.
Pada saingan Liga J1, Cklamovski juga pernah mengendalikan dua lagi kelab iaitu Montedio Yamagata dan Shimizu S-Pulse.
Ketika bersama Montedio, dia diiktiraf sebagai pengurus terhebat dalam sejarah kelab selepas menyelamatkan kelab daripada penyingkiran dalam saingan J2 pada 2021.
Ia berlaku selepas kelab itu mendaki carta liga dengan menduduki tempat keenam dengan perbezaan gol.
Pada musim 2022, Montedio hampir meraih slot untuk beraksi di divisyen utama namun kelab itu tewas dalam peringkat play-off di tangan Roasso Kumamoto.
Cklamovski adalah pengurus asing pertama dalam sejarah Montedio dan mempunyai peratusan kemenangan tertinggi berbanding mana-mana pengurus dalam sejarah kelab.
Rekod kelab juga dicapai oleh pasukannya pada 2021 dengan 12 perlawanan berturut-turut tanpa kalah dan tujuh kemenangan berturut-turut yang merupakan kemenangan paling banyak berturut-turut dalam sejarah kelab.
Selain Cklamovski, seorang lagi bekas pemain Australia iaitu Tim Cahill bakal menyertai skuad Harimau Malaya yang mana beliau bakal mengisi jawatan penasihat skuad kebangsaan. – MalaysiaGazette