Pesara guru temukan tapir mati dilanggar


DUNGUN: Seorang pesara guru terkejut apabila menemukan seekor tapir yang mati dipercayai dilanggar sebuah kenderaan di Jalan Besul Lama -Rantau Panjang, Bukit Besi, dekat sini, pagi tadi.

Mohamad Omar, 66, yang merupakan bekas guru Sekolah Kebangsaan (SK) Dendang berkata, dia menemukan bangkai tapir yang dianggarkan seberat 100 kilogram itu ketika dalam perjalanan pulang dari Kampung Tepus ke rumahnya di Kampung Jerangau
kira-kira pukul 9.30 pagi.

“Saya tengok objek besar di tepi jalan. Saya berhentikan kenderaan dan dapati seekor tapir yang telah mati.

“Saya fikir mungkin tapir tersebut telah dilanggar berikutan terdapat beberapa kesan luka dan darah di kepala dan mulutnya,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Mohamad berkata, dia juga mendapati terdapat serpihan kenderaan di lokasi kejadian.

“Kawasan ini sememangnya terdapat haiwan liar kerana dekat dengan hutan. Lagipun, sudah ada papan tanda dengan gambar tapir melintas, sebagai pengguna jalan raya, kita perlu lebih berhati-hati melalui kawasan ini,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dungun, Superintenden Maizura Abdul Kadir berkata, setakat ini, pihaknya masih belum menerima laporan daripada mana-mana individu yang terlibat dengan kemalangan tersebut. – UTUSAN





Source link

Leave a Reply