Ahmad Zahid mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO di Menara Dato’ Onn Kuala Lumpur malam ini. Foto Bernama
KUALA LUMPUR – UMNO komited untuk memperkukuhkan parti dan terus menjaga kerjasama baik antara parti-parti dalam Kerajaan Perpaduan, kata Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah itu dalam hantaran di Facebook malam ini berkata, perkara ini kerana perpaduan merupakan kunci kekuatan bagi parti untuk menghadapi cabaran.
Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu berkata, perkara itu antara yang ditekankan dalam Mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) UMNO yang berlangsung di Menara Dato’ Onn Pusat Dagangan Dunia, di sini malam ini.
Menyentuh sidang Parlimen yang akan berlangsung pada 14 Oktober ini, Ahmad Zahid berkata, fokus UMNO adalah untuk memastikan aspirasi rakyat dapat dipenuhi.
“Marilah kita berganding bahu berkhidmat demi mencapai matlamat dan kejayaan yang lebih besar,” katanya.
Ahmad Zahid juga mengucapkan penghargaan kepada semua pihak yang telah bekerja kuat membantu pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota baru-baru ini, yang membuktikan kemampuan UMNO untuk bangkit dan meraih kejayaan.
Pada 28 September, BN berjaya mempertahankan kerusi DUN Mahkota dengan majoriti lebih besar selepas calonnya Syed Hussien Syed Abdullah memenangi PRK berkenaan menewaskan calon Perikatan Nasional (PN) Mohamad Haizan Jaafar.
Syed Hussien yang juga Ketua Pemuda Umno Kluang menang dengan majoriti 20,648 selepas meraih 27,995 undi, berbanding Mohamad Haizan dengan 7,347 undi. – Bernama