Pernah ditipu oleh rakan niaga sebelum ini hingga kerugian ratusan ribu ringgit menyebabkan usahawan dan selebriti media sosial Iddin Syah kini berada dalam keadaan trauma malah serik untuk berbuat baik kepada individu lain.
Takut & fobia
Berkongsi perkara itu, Iddin atau Muhammad Iddin Syah Mohd Fauzi, 29, berkata pengalaman lalu banyak mengajar dan menjadikan dirinya berasa takut untuk menghulurkan bantuan sewenang-wenangnya terutamanya melibatkan bantuan kewangan.
“Fobia tu memang ada dan jadi takut nak rapat dengan orang malah jadi pengajaran buat saya sampai takut nak beri orang pinjam duit.
“Saya sebelum ini berbaik dengan semua orang tapi lepas berlaku insiden sebelum ini (ditipu), jadi takut nak jadi peramah malah lebih baik saya kecilkan kenalan.
”Saya tetap akan memberi bantuan tapi bukan berbentuk duit dan sekarang ini saya dah berhenti beri pinjam duit tak kisah keluarga, kawan rapat pun tidak lagi bagi pinjam duit,” kata Iddin.
Kembangkan produk
Ibarat hujan turun selepas pelangi, Iddin tidak menyangka aturan Allah SWT sangat baik buatnya apabila rezekinya makin bertambah, malah kini produk kosmetik miliknya iaitu ESW bakal dipasarkan ke luar negara di Qatar, Indonesia, Brunei dan Nigeria.
Menurut Iddin, walaupun pernah ditipu namun bukan penghalang buatnya untuk terus bangkit dan pasarkan produk ESW ke luar negara memandangkan mendapat sambutan tinggi pengguna.