KUANTAN: Hasrat untuk mengadakan semula pilihan raya pihak berkuasa tempatan (PBT) masih tidak sesuai dan bakal mengundang lebih mudarat baik dari segi perkhidmatan, kewangan mahupun polemik politik.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, cadangan tersebut juga bakal menimbulkan ketidakselesaan antara kaum jika tidak di tadbir urus dengan baik.

“Saya berpendirian teguh, apa jua yang hendak dilakukan, komitmen paling tinggi harus diberi dalam mengutamakan perkhidmatan terbaik untuk rakyat. Itu agenda paling mustahak bagi sesebuah kerajaan tempatan.

“Sistem sedia ada ketika ini masih sesuai dengan kehendak semasa. Yang Dipertua atau Datuk Bandar adalah kebiasaannya dari kalangan penjawat awam yang senior, berpengalaman dan neutral dari segi kecenderungan politik.

“Ahli-ahli Majlis pula adalah lantikan kerajaan negeri, yang sudah semestinya juga membawa hasrat dan agenda yang sama dengan kerajaan memerintah. Jika ada kepincangan, saya fikir itu adalah berkaitan dengan profesionalisme dan prestasi individu, bukan kepincangan sistem sedia ada,” katanya dalam kenyataan di sini.

Terdahulu, media melaporkan, Pengerusi DAP Wilayah Persekutuan, Tan Kok Wai semasa berucap dalam Konvensyen DAP Kuala Lumpur baru-baru ini mencadangkan supaya kerajaan memulakan pelaksanaan pilihan raya PBT di ibu negara.

Mengulas lanjut, Wan Rosdy berkata, memasukkan elemen politik iaitu pilihan raya dalam sistem kerajaan tempatan sedia ada dibimbangi akan membawa lebih banyak mudarat sekali gus menjejaskan fokus dan perkhidmatan kepada rakyat.

“Mungkin juga, kelak akan berlaku pemilihan yang bukan berdasarkan prestasi, tetapi persepsi. Dan itulah yang berlaku pada masa kini, yang dipilih itu kadang-kala atas dasar popular, tetapi tidak boleh buat kerja.

“Kita juga harus menilai dari sudut implikasi kewangan. Jutaan ringgit bakal dibelanjakan untuk tujuan pilihan raya PBT. Mengambil iktibar apa yang berlaku di Parlimen Kemaman, RM3.5 juta terpaksa dibelanjakan sekali lagi untuk adakan pilihan raya kerana salah laku pemimpin di kawasan tersebut.

“Ini boleh berlaku dalam pilihan raya kerajaan tempatan. Wang tersebut lebih baik digunakan untuk kebajikan rakyat,” katanya.

Beliau turut menasihati semua pihak agar lebih berhati-hati dalam memberi pandangan, terutamanya terhadap isu-isu yang sensitif.

“Saya melihat kadang-kala pandangan-pandangan itu sengaja dibuat untuk menimbulkan provokasi, tetapi berselindung di sebalik nama demokrasi.

“Benar, ia adalah satu proses demokrasi yang baik. Namun ingatlah, sejauh manapun kita bersetuju dengan sistem demokrasi ini, janganlah sampai kita terkorban hanya semata-mata ‘atas nama demokrasi’,” katanya. – UTUSAN





Source link

[K1-k10]Raya tahun ini bersama Muhammad exclusive keluaran #desamurnibatik dengan pilihan warna yang menarik
Shopee.com.my
RM149.00
[K1-k10]Raya tahun ini bersama Muhammad exclusive keluaran #desamurnibatik dengan pilihan warna yang menarik

Leave a Reply