ISKANDAR PUTERI – Gaya hidup pasangan suami muda yang memilih untuk tidak memiliki anak atau ‘childfree’ dilihat sebagai satu tren yang amat membimbangkan.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat negeri, Khairin-Nisa Ismail berkata, tren yang menular dalam kalangan pasangan Millennial dan Gen Z ini boleh merosakkan peranan institusi kekeluargaan.

Katanya, tren ini menyumbangkan kepada penurunan statistik kelahiran hidup sebanyak 9.4 peratus, iaitu 106,386 kelahiran pada suku pertama tahun ini berbanding 117,413 kelahiran tahun lalu selain tahap kesuburan pasangan suami isteri.

“Apa jua alasan yang diberikan budaya ‘childfree’ ini dilihat sangat tidak sihat dan boleh menganggugugat akan peranan institusi kekeluargaan,” katanya ketika berucap pada majlis Sambutan Hari Ibu Bapa Peringkat Negeri Johor 2024 di Dewan Utama Majlis Bandaraya Iskandar Puteri, di sini hari ini.

Sementara itu, Khairin-Nisa memberitahu, menggalas tanggungjawab sebagai ibu bapa dalam era moden ini adalah sangat mencabar dan kompleks kerana ia bukan sahaja mencabar dari sudut emosi dan fizikal tetapi juga perlu berhadapan dengan tekanan di persekitaran.

“Hasil tinjauan juga mendapati bahawa terdapat kecenderungan dalam kalangan ibu bapa yang pernah terfikir untuk mencederakan diri atau membunuh diri atau melakukan sesuatu di luar kawalan terhadap ahli keluarga.

“Walaupun peratusannya adalah kecil atau rendah tetapi situasi ini tidak boleh dipandang remeh kerana ia melibatkan isu kesihatan dan kesejahteraan mental ibu
bapa,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE





Source link

Leave a Reply