Penyokong Bossku kecewa Najib tak dapat pengampunan penuh


PUTRAJAYA: Penyokong-penyokong kepada Datuk Seri Najib Tun Razak iaitu ‘Bossku’ kecewa bekas Perdana Menteri itu tidak dapat pengampunan penuh daripada hukuman yang dikenakan terhadap beliau ketika ini.

Pengerusi Pertubuhan Jalinan Perpaduan Negara Malaysia, Syed Muhammad Imran Syed Abdul Aziz berkata, walaupun menghomati keputusan badan itu, pihaknya kekal berpendirian bahawa Najib tidak bersalah dan ia satu ketidakadilan besar berlaku ke atas bekas Presiden UMNO itu.

“Keputusan Lembaga Pengampunan pada hari ini sudah dapat dijangka dari awal lagi.

“Dalam hal ini, kami penyokong Bossku kekal untuk menyokong Perikatan Nasional (PN) kerana keadilan terhadap Najib masih tidak ditegakkan, selain dipandang remeh oleh kepimpinan tertinggi UMNO walaupun berada dalam Kerajaan Perpaduan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu, Lembaga Pengampunan Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya mengesahkan bekas Presiden UMNO itu akan dibebaskan pada 23 Ogos 2028.

Tarikh tersebut adalah enam tahun lebih awal dari tempoh hukuman sepatutnya selain jumlah denda dikurangkan daripada RM210 juta kepada RM50 juta.

Urusetia Lembaga Pengampunan dalam satu kenyataan memaklumkan, sekiranya Najib tidak membayar denda tersebut, tempoh penjara beliau ditambah selama setahun dari tarikh pembebasannya itu. – UTUSAN





Source link

Leave a Reply