KUALA LUMPUR: Pengerusi Persatuan Pengarah Filem Malaysia (FDAM), Datuk Afdlin Shauki mengalu-alukan penyertaan pempengaruh digital tempatan untuk menyertai persatuan tersebut.

Afdlin dalam kenyataan memaklumkan, peluang membolehkan pertukaran kemahiran dan ilmu membabitkan pengarah-pengarah berpengalaman dengan golongan tersebut yang rata-ratanya menguasai kemahiran dalam penghasilan kandungan di media sosial dan Internet.

“Kita mendekati mereka (pempengaruh digital) kerana dunia content sekarang ini dalam genggaman mereka.

“Kita jangan sombong dan duduk dalam kepompong, sebaliknya mesti membuka tangan untuk menerima dan menyokong kehadiran pembikin filem filem-filem Malaysia dapat diperkasakan,” katanya.

Afdlin, pada Mesyuarat Agung Dwitahunan FDAM Ke-25 yang berlangsung di Pawagam Mini P Ramlee, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) semalam dipilih sebagai pengerusi FDAM yang baharu bagi penggal 2024 hingga 2025. Pemilihan beliau dibuat berdasarkan undian majoriti ahli yang hadir ke mesyuarat tersebut.

Dalam kenyataan sama, Pelakon Filem Terbaik Festival Filem Malaysia 2009 itu meluahkan rasa teruja untuk berganding bahu dengan ahli FDAM untuk membawa pembaharuan bagi persatuan berkenaan.

“Tanggungjawab sebagai Pengerusi FDAM adalah berat tetapi saya teruja untuk bersama rakan-rakan membawa pembaharuan dan penjenamaan semula supaya kita semua kembali berbangga memegang kad keahlian FDAM,” katanya.

“FDAM mesti menjaga setiap ahlinya dan memikirkan manfaat untuk mereka yang telah membayar yuran keahlian.

“Kalau ada pengarah melakukan sesuatu yang baik dan membanggakan, kita sokong ramai-ramai dan kalau ada yang buat masalah, kita tegur ramai-ramai. Saya rasa kita perlukan satu suara,” katanya.

Dalam mesyuarat tersebut, sembilan individu turut dipilih mengisi jawatan-jawatan lain antaranya Timbalan Pengerusi disandang oleh Khir Mohd Noor; Haji Mohamad Zaini Hassan selaku setiausaha, Don Hoe (Timbalan Setiausaha), Loganathan Kanabathy (Bendahari), Terry Chan (Timbalan Bendahari).

Empat individu termasuk Mohamed Faizal Syed Ariff, Elrafaei Sapi, Faisal Chal Ahmad dan Muhammad Aiman Mohammad Zaki pula mengisi kekosongan barisan ahli jawatankuasa.





Source link

Leave a Reply