Penyair wanita ini orangnya biasa-biasa saja. Akan tetapi, apa yang membuatnya dianggap luar biasa adalah keproduktifannya. Akhbar ini merupakan wadah pemangkin apabila puisinya Mencari Haluan pertama kali diterbitkan dalam Berita Harian (BH) pada 2 Mac 2006.

Dengan menghasilkan lebih 500 kuntum puisi, boleh dikatakan peribadi ini yang mula menulis sejak 1972 lagi (zaman persekolahan) merupakan penyair wanita yang cukup produktif sehingga sekarang berbanding dengan penyair-penyair yang lain. Sosok tersebut ialah penyair Kamaria Buang.

PENGENALAN

Kamaria Buang (lahir,1958) telah menghasilkan sebuah himpunan puisi Tanah, Di Sini Aku Bersemadi (2015) dan sebuah antologi bersama Saharuddin Senin, Lirik Bulan Di Sukma Malam (2016) dan beberapa lagi antologi (sekitar 30 judul) termasuk Bebas Melata dan Haiku Anggerik Di Dahan Sakura bersama penyair-penyair lain.

Ketika Anugerah Persuratan 2009 diumumkan, puisinya Anak Tetangga Kelantan Lane memenangi Hadiah Sastera. Kemudian dalam Anugerah Persuratan 2015, sebuah lagi puisinya, Sandalku Milikmu, juga memenangi dalam kategori yang sama.

ULASAN PUISI

Kebelakangan ini pun sejumlah 15 kuntum puisinya mendapat tempat dalam Berita Minggu dalam masa dua tahun antara 2022dan 2023. Tulisan ini secara rambang cuba memperkatakan beberapa daripada kelimabelasan kuntum puisinya.

Menerusi puisi Leftenan Adnan bin Saidi (Berita Minggu, 13 Feb 2022) jelas sekali penyair menyorot kembali kepahlawanan wira Melayu dalam mempertahankan negara dari serangan tentera Jepun di Bukit Chandu, Peppy’s Road, Singapura. Puisi ini juga menempelkan slogan almarhum Leftenan Adnan ‘biar putih tulang, jangan putih mata’ yang lekat dalam ingatan sebagai penguat semangat masyarakat Melayu. Seperti juga ungkapan Laksamana Hang Tuah ‘tidak Melayu hilang di dunia’. Puisi ini sebagai penghargaan penyair akan kebulatan tekad dan kesetiaan para perajurit terhadap negaranya.

Kamaria Buang sebagai penyair yang rajin belajar daripada pengalaman individu lain yang berada di sekelilingnya cukup peka dan dapat merasa sesuatu yang terkesan dalam perjalanannya sebagai penyair.

Berpulangnya penyair tanah air yang dikagumi, almarhum Mohamed Latiff Mohamed, ke Rahmatullah meninggalkan kesan yang menyentap dirinya tentang kemanusiaan. Ini dirakam dalam puisinya Engkau Yang bernama Mohamed Latiff Mohamed (Berita Minggu, 23 Okt 2022):

Dan kini dia..
bau setanggi mewangi
kau tinggalkan setia
pada puisi duka
pada puisi suka
kutadah renjisannya
kukunyah pesanannya
tulislah tentang manusia
kemanusiaan yang semakin hilang

Kamaria Buang juga lebih gemar menulis puisi-puisi keagamaan/keislaman. Umpamanya Kucari Ramadan, Segelintir Harapan Di Muharram Ini dan Doa di Arafah. Puisi-puisi seperti ini cuba mencari dan mendekati keredaan Allah swt sebagai hamba yang bertaqwa.

Kucari Ramadan (BM, 8 Mei 2022) memfokus pada Ramadan sebagai bulan yang suci dan dinanti-nantikan umat Islam seluruh dunia sebagai kunci peribadatan yang membuka pintu Rahmat Allah swt. Bulan yang memberi ruang untuk umat Islam mendapatkan keampunan daripada segala dosa dan kesilapan lalu. Bulan yang menyediakan keistimewaan yang tidak ada pada bulan-bulan yang lain iaitu Malam Lailatulqadar.

Dalam puisinya Doa di Arafah (BM, 17 Jul 2022) membawa penyair sedar akan kekerdilan diri di hadapan Allah swt, di dalam perhimpunan yang mengingatkan perhimpunan besar di Padang Mahsyar nanti.

Manakala puisi Segelintir Harapan Di Muharram Ini (BM, 31 Jul 2022) memautkan azam penyair untuk tahun-tahun seterusnya dengan penuh harapan. Hanya kepada Allah swt tempat meminta akan keamanan dunia dan juga kesejahteraan diri:

Biar diangkat segala bahaya
Disaji bahagia merata
Biar dipadam segala derita
Yang terdiam di lubuk sengsara
Biarkan keamanan digendong sama
Agar tidak tercicir di mana-mana
Padamkan api yang menyala-nyala
Agar tidak menghitam di lubuk jiwa
Jadikan Muharram ini dipenuhi penghijrahan
Dari yang buruk kepada kebaikan
Dalam kegelapan diterangi sinaran

PENUTUP

Walaupun daripada perhatian dan dapatan di atas jelas akan kehadiran Kamaria Buang sebagai seorang penyair wanita yang paling produktif menghasilkan kuantiti puisi yang banyak namun ia juga perlu diiringi dengan peningkatan mutunya supaya mencapai kemantapan dalam pengkaryaan puisi-puisinya.

Penulis adalah penggiat sastera yang sering membuat ulasan karya-karya kreatif yang diterbitkan di Berita Harian/ Berita Minggu.





Source link

ITBM Sastera Dunia : Warkah Buat Seorang Penyair Muda - Rainer Maria Rike
Shopee.com.my
5.0
RM25.00
ITBM Sastera Dunia : Warkah Buat Seorang Penyair Muda - Rainer Maria Rike
-25%
ABU NAWAS; SUFI DAN PENYAIR ULUNG YANG JENAKA (IMP - LAKSANA / DIVA)
Shopee.com.my
5.0
RM24.38 RM32.51
ABU NAWAS; SUFI DAN PENYAIR ULUNG YANG JENAKA (IMP - LAKSANA / DIVA)
CINTA DI PINTU MIHRAB Antologi Puisi Penyair Wanita Malaysia [GAPENA]
Shopee.com.my
5.0
RM40.00
CINTA DI PINTU MIHRAB Antologi Puisi Penyair Wanita Malaysia [GAPENA]

Leave a Reply