Satu insiden mengecewakan berlaku di sebuah penerbangan dari Melaka ke Singapura baru-baru ini apabila seorang penumpang mendakwa dia dan penumpang lain terpaksa menunggu selama sembilan jam sebelum diberitahu penerbangan mereka dibatalkan akibat masalah teknikal pada pesawat.
Menurut laporan 8world, penumpang yang dikenali sebagai Lim kini sedang mencari pampasan daripada syarikat penerbangan yang dikatakan merupakan syarikat penerbangan kos rendah di Singapura.
Penerbangan tersebut dijadualkan berlepas dari Melaka pada pukul 10.15 malam dan tiba di Singapura pada 11.10 malam pada hari Jumaat yang lalu (10 Jan).
Lim bersama keluarganya tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Melaka sekitar pukul 8 malam dan dia telah menyemak laman web FlightRadar yang menunjukkan penerbangan itu mengalami kelewatan sebelum ini akibat cuaca buruk.
Mereka pergi ke Singapura untuk menghadiri satu acara bersama keluarga dan rakan sekerja Lim. Walaupun pesawat tiba di lapangan terbang pada pukul 11 malam, mereka tidak dapat menaikinya.
“Saya nampak ramai juruteknik berdiri di sebelah pesawat, memeriksa enjin. Saya pergi bertanya kepada kakitangan apa masalahnya dan kenapa kami tidak boleh menaiki pesawat,” kata Lim.
“Mereka memberitahu saya ia disebabkan cuaca,” tambahnya. Akhirnya, pada pukul 2.30 pagi, penumpang dibenarkan naik pesawat, dan Lim menceritakan bahawa dia tertidur sebaik sahaja duduk, tetapi terbangun setengah jam kemudian mendapati penerbangan masih belum berlepas.
Kapten pesawat mengumumkan bahawa enjin tidak dapat dihidupkan dan pesawat perlu kembali ke hangar untuk pemeriksaan, jadi semualah penumpang diminta turun semula.
“Saya sangat marah bila mendengar itu. Kami telah menunggu lama dan berkali-kali bertanya jika ada masalah dengan pesawat, tetapi mereka terus berkata disebabkan cuaca,” luah Lim. “Kenapa mereka tidak beritahu lebih awal bahawa pesawat tidak boleh terbang? Kami boleh cari alternatif lain daripada menunggu dari 8 malam hingga 4 pagi.”
Akibat pembatalan mendadak tersebut, Lim dan keluarganya terpaksa memandu ke Johor Bahru sekitar pukul 5 pagi lalu mengambil bas ke Singapura dan tiba sekitar pukul 10 pagi, yang mana mereka hampir terlepas acara yang dijadualkan.
Pada hari Sabtu (11 Jan), syarikat penerbangan itu menghubungi penumpang yang terjejas pada pukul 12.40 tengahari untuk mengarahkan mereka menunggu di kaunter di lapangan terbang pada 1.30 petang bagi menaiki bas jarak jauh ke Singapura.
Lim menjelaskan bahawa pembatalan itu menyebabkan dia mengalami kerugian kerana telah membuat tempahan penginapan di Singapura, dan juga menambah kos untuk petrol dan tambang bas. Dia mendakwa mengalami kerugian sebanyak S$1,881 (RM6,200) dan meminta pampasan daripada syarikat penerbangan.
Setelah penerbangan dibatalkan, Lim menghubungi perkhidmatan pelanggan syarikat penerbangan untuk mengemukakan tuntutan pampasannya tetapi mendakwa bahawa wakil mereka hanya menawarkan baucar, serta menyatakan bahawa pemulangan wang akan mengambil masa 20 hari untuk diproses dan 14 hari tambahan untuk pemindahan.
“Saya rasa ini adalah kesalahan pihak mereka, jadi saya harap mereka boleh menggantikan tambang pesawat dan semua kerugian lain yang saya tanggung,” tambah Lim.
Menurut jurucakap syarikat penerbangan kos rendah Singapura itu, pembatalan adalah disebabkan masalah pada tangki bahan bakar pesawat, menyebabkan pesawat tidak dapat mengisi bahan bakar di Lapangan Terbang Antarabangsa Melaka.
“Disebabkan cuaca buruk di Singapura dan kawasan sekitarnya hujung minggu lalu, beberapa penerbangan mengalami kelewatan atau penjadualan semula,” kata jurucakap tersebut. Mereka juga menambah bahawa syarikat penerbangan telah menyediakan penginapan alternatif dan makanan untuk penumpang yang terjejas, serta pengaturan perjalanan pada hari Sabtu pukul 2 petang.