Penjenayah dikehendaki mati ditembak


PETALING JAYA: Polis menembak mati seorang penjenayah dikehendaki dalam kejadian di Apartment Sri Acasia, Taman Puchong Prima di sini, petang tadi.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, pihaknya menerima satu laporan polis pada pukul 3.94 petang daripada anggota polis yang bertugas di Pusat Kawalan Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Subang.

Katanya, dalam kejadian berbalas tembakan itu, suspek yang merupakan warga tempatan ditembak mati.

“Suspek mempunyai rekod lampau iaitu tujuh berkait jenayah, enam narkotik dan satu rekod dikehendaki.

“Siasatan lanjut masih dijalankan pihak Bahagian Siasatan Jenayah IPD Subang Jaya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sehubungan itu, menurutnya, orang ramai yang mempunyai maklumat lain boleh hadir ke balai polis berhampiran atau menghubungi IPD Subang Jaya di talian 03-78627222 bagi membantu siasatan.

Selain itu, jelasnya, pihak polis juga terkesan satu rakaman video berkait kejadian tersebut yang tular di media sosial.

“Justeru, orang ramai dinasihatkan supaya tidak menularkan video tersebut yang mana boleh mendatangkan kegusaran kepada masyarakat.

Terdahulu, Utusan Online melaporkan penduduk di Puchong Prima di sini dikejutkan dengan kejadian berbalas tembakan.

Insiden itu turut dirakam penduduk di situ dan tular melalui sebuah video berdurasi 49 saat.

Dalam video itu, kelihatan beberapa individu menjerit meminta penduduk tidak keluar sebelum kedengaran tembakan dilepaskan.- UTUSAN





Source link

Leave a Reply