Pemukiman anggota jemaaah menteri cari ikhtiar baharu lonjak ekonomi negara


CYBERJAYA: Program Permukiman Anggota Jemaah Menteri Kerajaan Perpaduan 2024 selama dua hari bermula hari ini akan menumpukan usaha mencari ikhtiar baharu bagi melonjakkan ekonomi negara.

Jabatan Perdana Menteri (JPM) dalam kenyataan hari ini berkata, program yang akan berakhir esok itu turut membawa matlamat untuk memantapkan sinergi dan kerjasama antara Jemaah Menteri dan kepimpinan perkhidmatan awam.

Menurutnya, program itu turut memberdaya iltizam dalam melaksanakan pelan-pelan tindakan bagi merealisasikan aspirasi Ekonomi Madani.

“Program itu turut dihadiri Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim serta 31 Anggota Jemaah Menteri Kerajaan Perpaduan dan 15 orang jemputan khas yang berlangsung di Cyberview Resort & Spa, di sini.

“Program ini dilaksanakan selaras hasrat Perdana Menteri untuk menyampaikan mandat kepada semua anggota Jemaah Menteri dan kepimpinan tertinggi perkhidmatan awam tentang hala tuju dan strategi kerajaan bagi tahun 2024 serta bagi jangka masa sederhana dan panjang.

“Di samping itu, program juga bertujuan mencapai penjajaran matlamat serta mewujudkan rasa kebersamaan dan kesatuan dalam kalangan anggota Jemaah Menteri terhadap pelan tindakan kerajaan yang bersepadu dan tuntas berteraskan konsep ‘whole of government dan whole of nation’,” katanya.

ANWAR Ibrahim ketika tiba bagi Sesi Pemukiman Anggota Jemaah Menteri Kerajaan Perpaduan di Cyberview Resort @ Spa, Cyberjaya. – UTUSAN/FAISOL MUSTAFA

Katanya, program yang berlangsung selama dua hari ini membawa beberapa sesi wacana dan forum yang melibatkan pakar-pakar dari sektor awam, sektor swasta, industri dan organisasi antarabangsa.

Antara perkara-perkara yang dibincangkan mencakupi aspek-aspek penting termasuk cabaran dan hala tuju ekonomi; kebajikan dan keselamatan sosial; pembangunan infrastruktur dan kemampanan; tadbir urus, inovasi dan komunikasi ke arah kemakmuran negara.

Terdahulu, Anwar yang juga Menteri Kewangan tiba pukul 2.42 petang tadi disambut Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Datuk Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz.

Turut hadir kedua-dua Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof.

Difahamkan, sesi pemukiman hari ini dijangka bermula 3 petang.

Sebelum ini, Anwar memaklumkan, permukiman itu juga akan meneliti pelaksanaan dasar-dasar yang telah dilancarkan kerajaan sepanjang tahun lepas. – UTUSAN





Source link

Leave a Reply