Peminatlah yang menjaga dan paling memahami saya – Khai Bahar


PUTRAJAYA : Penyanyi, Khai Bahar, 29, mengakui beruntung kerana mempunyai kelab peminat yang sangat memahami selain sentiasa menjaga dirinya meskipun adakala sebagai manusia, dia juga tidak terlepas daripada melakukan kesilapan.

Menurut Khai atau nama sebenarnya, Muhammad Khairul Baharuddin, dia tidak akan mampu untuk berada pada tahap kedudukan sekarang tanpa kehadiran para peminat yang teguh menyokong kerjaya seninya.

“Orang tanya apa petua jaga peminat, saya tak ada petua. Ini kerana, merekalah yang menjaga saya dan paling memahami saya.

“Biasalah kita kadang-kadang sebagai manusia tidak terlepas daripada melakukan kesilapan. Susah atau rasa gembira, kami kongsi bersama.

“Saya sangat hormati semua peminat yang sentiasa menyokong dan sangat menyayangi mereka,”katanya.

Selain itu, kata Khai, setakat ini juga dia bersyukur kerana belum pernah berdepan dengan situasi peminat fanatik sehingga menganggu kehidupannya.

“Setakat ini tak ada yang berkelakuan fanatik. Mereka masih berkelakuan baik dan menjaga batas.

“Peminat pun ramai dalam kategori ibu-ibu dan yang muda-muda pun ramai dah kahwin. Ramai yang menyokong saya dari dulu sampai sekarang dan itu membuatkan saya rasa terharu,”katanya.

Khai berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Gempak Most Wanted Awards (GMWA 2023) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya ( PICC), di sini, semalam.

Terdahulu, Khai dinobatkan sebagai pemenang kategori Muzik Video Tergempak GMWA 2023 untuk lagu berjudul Selagi Ku Ada duet bersama Nabila Razali.

Berkongsi mengenai kemenangan tersebut, kata Khai, dia bersyukur kerana masih diterima dalam industri dan itu menyuntik semangat untuknya terus menghasilkan karya lebih bermutu.

“Saya yakin kemenangan ini bukan kerana popular atau kerana diri dikenali tetapi kerana bakat yang saya ada dalam bidang nyanyian ini.

“Saya janji lepas ini akan terus hasilkan katya yang terbaik demi menghargai peminat-peminat saya yang sekian lama telah menyokong,”katanya.

Anugerah GMWA 2023 diadakan dengan tujuan mengiktiraf personaliti serta bakat-bakat pencipta kandungan digital terkemuka daripelbagai latar belakang.

Malam anugerah GMWA 2023 berlangsung pada 25 Februari 2024, secara langsung dari Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya, eksklusif di saluran Astro Ria (104) dan On Demand bermula jam 9 malam.

Acara ini juga boleh ditonton di platform penstriman YouTube, Facebook dan TikTok Astro Gempak menerusi GMWA 2023 Live+.

Acara kemuncak juga menampilkan konsep Y2K, dengan kehadiran artis-artis ternama dan personaliti media sosial.

Mengekalkan format yang sama seperti tahun sebelumnya, calon yang mendapat undian keseluruhan tertinggi daripada kesemua kategori akan dinobatkan sebagai pemenang anugerah utama ‘Gempak Most Wanted 2023’.

Selain itu, anugerah ‘Gempak Hall of Fame’ juga diberikan kepada calon yang telah memberi impak yang tinggi kepada masyarakat berdasarkan undian daripada pengguna media sosial dan para peminat.





Source link

Leave a Reply