WASHINGTON: Pemimpin parti Demokrat dan Republikan di Kongres Amerika Syarikat (AS) bersetuju dengan perjanjian perbelanjaan Persekutuan berjumlah AS$1.5 trilion (RM6.97 trilion).
Ia sekali gus mewujudkan perlumbaan dalam kalangan penggubal undang-undang yang sering berpecah-belah untuk meluluskan rang undang-undang memperuntukkan dana itu sebelum penutupan kerajaan pada bulan ini.
Sejak awal tahun lalu, jawatankuasa pembahagian Dewan Perwakilan dan Senat AS gagal mencapai persetujuan membabitkan 12 rang undang-undang tahunan yang diperlukan untuk membiayai kerajaan bagi tahun fiskal bermula 1 Oktober.
Persetujuan gagal dicapai disebabkan perselisihan pendapat mengenai jumlah wang yang perlu dibelanjakan.
Setelah penggubal undang-undang pulang dari bercuti, jawatankuasa berkenaan akan melancarkan rundingan intensif mengenai jumlah boleh dibelanjakan oleh pelbagai agensi kerajaan dalam tahun fiskal yang berlangsung sehingga 30 September.
Mereka mempunyai masa sehingga tarikh akhir pada 19 Januari ini bagi set pertama rang undang-undang diluluskan melalui Kongres dan tarikh 2 Februari untuk selebihnya.
Terdapat beberapa perselisihan pendapat antara kedua-dua pihak mengenai apa yang dipersetujui mereka sebelum ini.
Speaker Dewan Perwakilan, Mike Johnson dari Republikan dalam satu kenyataan memaklumkan dana itu bakal merangkumi AS$886 bilion (RM4.11 trilion) untuk pertahanan dan AS$706 bilion (RM3.28 trilion) bagi perbelanjaan bukan pertahanan.
Namun, Senator AS, Chuck Schumer dari Demokrat pula menerusi kenyataan berasingan menyatakan perbelanjaan bukan pertahanan adalah sebanyak AS$772.7 bilion (RM3.59 trilion).
Bulan lalu, Kongres meluluskan dana AS$886 bilion (RM4.11 trilion) untuk Jabatan Pertahanan pada tahun fiskal ini yang ditandatangani oleh Presiden Joe Biden.
Pembiayaan bukan pertahanan akan melindungi keutamaan domestik utama seperti penjagaan kesihatan, manfaat veteran dan bantuan makanan berbanding pemotongan diminta oleh segelintir penggubal undang-undang. – REUTERS