ALOR SETAR: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) memberikan tempoh dua hari kepada pemilik kedai makan di Pantai Chenang, Langkawi yang didakwa menjual menu ayam goreng kunyit pada harga RM20 sepinggan.

Pengarah KPDN Kedah, Affendi Rajini Kanth berkata, pihaknya telah mengeluarkan satu Notis Pengesahan Maklumat Barangan (NPMB) terhadap peniaga terbabit susulan hantaran yang dibuat seorang pelanggan di media sosial.

Beliau berkata, notis tersebut dikeluarkan di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.

“Siasatan telah dijalankan di premis terlibat, kita telah berjumpa dengan pemiliknya dan pemeriksaan menyeluruh mendapati buku menu disediakan kepada pelanggannya.

“Memang tercatat harga RM20 untuk menu ayam goreng kunyit, jadi dalam kes ini harga memang dipaparkan tetapi kita bagi notis itu dan peniaga perlu menunjukkan nilai atau kos dengan harga makanan itu,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Terdahulu, seorang pelanggan yang mengunjungi sebuah kedai makanan di Pantai Chenang melahirkan rasa tidak puas hati apabila dikenakan caj RM20 untuk hidangan sepinggan ayam goreng kunyit.

Pengadu yang dikenali sebagai Hada Jais memuat naik resit berkenaan di laman sosial miliknya kerana menyifatkan harga tersebut terlalu mahal.

Dia turut memaklumkan terpaksa membayar RM24 untuk keseluruhan hidangan dipesannya, iaitu sepinggan ayam goreng kunyit (RM20) sepinggan nasi putih berharga RM3 dan air kosong (RM1).

Affendi memaklumkan, hasil pemeriksaan tanda harga di premis tersebut mendapati sebanyak 10 buku menu disediakan untuk pelanggan.

“Premis berkenaan dibuka enam hari seminggu, bermula 10 pagi sehingga 10 malam dan kebanyakan pelanggan di situ merupakan pelancong luar negara. Kita turut mengambil resit bayaran oleh pengadu pada hari kejadian untuk siasatan lanjut,” katanya.

Sementara itu beliau berkata, pengadu setakat ini gagal dihubungi bagi mendapatkan maklumat lengkap berkaitan aduan apabila panggilan telefon terhadapnya tidak dijawab.

Dalam pada itu, Affendi menasihatkan pengguna untuk sentiasa menyemak harga bagi mendapatkan maklumat terlebih dahulu sebelum membuat pesanan masing-masing.

“Akta Pelindungan Pengguna 1999 memberikan hak kepada pengguna untuk mendapatkan maklumat berhubung sesuatu barangan termasuk hidangan makanan sebelum membuat pesanan,” katanya. -UTUSAN





Source link

Leave a Reply