BAGAN DATUK – Jambatan Bailey akan dibina segera bagi menggantikan laluan yang terputus hubungan ekoran mendapan dan tanah runtuh susulan banjir yang berlaku di seluruh negara ketika ini.
Ia termasuk Jalan Gua Musang-Jeli di Kilometer 35 berdekatan Kampung Jerek menuju Jelawang yang ditutup kepada semua kenderaan berikutan berlaku mendapan tanah sepanjang 15 meter, semalam.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, pembinaan jambatan Bailey itu akan dilaksanakan segera dalam tempoh 48 jam.
Bagaimanapun katanya, ia bergantung kepada penilaian struktur tanah terlebih dahulu bagi memastikan ia mampu menampung pembinaan infrastruktur tersebut.
“Terdapat beberapa jalan yang terputus hubungan dan kita memutuskan supaya jalan-jalan yang runtuh dibina dengan jambatan Bailey.
“Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma), Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Rejimen Askar Jurutera Diraja (RAJD) mempunyai stok yang mencukupi untuk pembinaan jambatan Bailey di lokasi-lokasi yang terjejas.
“Dalam tempoh 48 jam, kita akan terus gerakkan aset ke kawasan yang terlibat. Ini pernah dilakukan apabila jambatan Bailey dibina dalam tempoh 72 jam bagi menghubungkan Segamat dan Rompin,” katanya selepas menyempurnakan Majlis Perasmian program ‘One Stop Center’ Sejahtera Sosial Negeri Perak Daerah Bagan Datuk di Politeknik Bagan Datuk, di sini hari ini.- KOSMO! ONLINE