Gangguan bekalan air yang merangkumi tujuh daerah disebabkan pencemaran bau yang dikesan di beberapa sungai di Selangor dijangka akan diselesaikan sepenuhnya menjelang Jumaat, kata Exco negeri Selangor bagi infrastruktur dan pertanian, Izham Hashim.
Bekalan air kepada pengguna di kawasan yang terjejas dijangkakan akan dipulihkan seawal jam 8 pagi esok selepas operasi sepenuhnya semua loji rawatan air (LRA) yang terlibat.
“LRA Rantau Panjang dan SPP1, SSP2, dan SSP3 (LRA Fasa 1, Fasa 2, dan Fasa 3) Sungai Selangor kembali beroperasi sepenuhnya pada jam 3 petang hari ini.
“Pengedaran air dari LRA Rantau Panjang bermula pada jam 6 petang hari ini, sementara ketiga-tiga SSP dijangkakan akan memulakan pengedaran air pada jam 8 pagi esok,”
“Kawasan kediaman dengan tekanan air rendah mungkin mengambil sedikit masa lebih lama, tetapi kebanyakan pengguna akan menerima bekalan air dalam tempoh 24 jam,” katanya semasa sidang akhbar mengenai isu itu malam ini.
Sementara itu, Izham berkata premis yang menyebabkan pencemaran air dengan membuang sisa ke sungai telah diberi notis kompaun oleh Majlis Perbandaran Selayang.
Sebelum ini, Exco negeri bagi kesihatan awam dan alam sekitar, Jamaliah Jamaluddin berkata pencemaran bau, dikesan sejak semalam, dikaitkan dengan kilang yang dipercayai memproses bahan akrilik untuk di kitar semula.
Air Selangor juga mengumumkan bahawa tujuh kawasan di Lembah Klang, iaitu Petaling, Klang, Shah Alam, Gombak, Kuala Lumpur, Hulu Selangor, dan Kuala Selangor, mengalami gangguan bekalan air tanpa jadual akibat penutupan sementara empat LRA berikutan pencemaran.