Pemandu e-hailing mengaku tidak salah pukul penumpang


KUANTAN: Seorang pemandu e-hailing mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas dakwaan  mendatangkan kecederaan terhadap penumpang warga China, pertengahan bulan lalu.

Tertuduh, Mohd. Sidek Saleh, 32, berstatus orang kurang upaya (OKU) membuat pengakuan tersebut dan mohon dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan hakim, Datuk Zamzani Mohd Zain.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didapati dengan sengaja menyebabkan cedera parah ke atas mangsa dengan cara menyerang mangsa di jari tangan kanan  menggunakan suatu alat yang jika digunakan sebagai senjata mungkin boleh menyebabkan  kematian iaitu kerusi lipat. 

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan terbabit pada 16 Disember lalu di hadapan sebuah hotel di daerah ini. 

Justeru, tertuduh didakwa melakukan kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang mana jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara boleh sampai 20 tahun serta denda dan sebat. 

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM15,000 dengan dua penjamin selain menetapkan syarat tambahan melarang tertuduh mengacau ganggu pengadu sehingga perbicaraan kes selesai.

Tertuduh juga perlu melaporkan diri di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan sebulan sekali selain perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah sehingga perbicaraan selesai. 

Hakim menetapkan 24 Februari ini sebagai tarikh serahan dokumen dan pengurusan kes. – UTUSAN





Source link

Leave a Reply