Pelan rekalibrasi PATI dilaksana semula tahun ini


PUTRAJAYA: Kerajaan akan memperkenalkan semula pelan rekalibrasi pendatang asing tanpa izin (PATI) bagi penghantaran pulang warga asing tahun ini.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, perkara itu bagaimanapun tertakluk kepada kelulusan Jemaah Menteri.

“Jawatankuasa bermesyuarat hari ini mencadangkan semula program rekalibrasi bagi penghantaran pulang rakyat asing yang tinggal lebih masa mulai tahun ini.

“Kita akan cadangkan satu tarikh kepada Jemaah Menteri dan juga jumlah kompaun yang akan dikenakan terhadap mereka.

“Langkah itu diambil selepas menerima maklum balas daripada kedutaan negara sumber yang mana mereka syorkan supaya ruang dibuka semula bagi penghantaran pulang warga mereka,” katanya dalam sidang akhbar selepas Mesyuarat Jawatankuasa Bersama Antara Menteri Dalam Negeri Dan Menteri Sumber Manusia Mengenai Pengurusan Pekerja Asing Kali Ke-10 di sini hari ini.

Katanya, pelan rekalibrasi PATI itu ditutup tahun lalu, namun kerajaan masih meneruskan rekalibrasi tenaga kerja (RTK 2.0).

Dalam pada itu, katanya, ketika ini negara mempunyai seramai dua juta pekerja asing dengan tiga sektor sudah lengkap diisi iaitu perkhidmatan, pembinaan dan perkilangan.

“Dari segi rekod menunjukkan angka permohonan dan kemasukan cukup, masih ada defisit keperluan tinggi bagi dua lagi sektor iaitu perladangan dan pertanian,” katanya. – UTUSAN





Source link

Leave a Reply