Thinaah (kiri) dan Pearly menumpaskan pasangan India dalam aksi pusingan pertama Terbuka Denmark di Odense pada Rabu. Foto Agensi
BEREGU wanita negara, Pearly Tan-M Thinaah memulakan momentum positif untuk mengintai peluang pergi jauh pada Kejohanan Badminton Terbuka Denmark setelah lulus ujian pertama saingan awal sebentar tadi.
Bagaimanapun kemenangan tersebut bukan diraih dengan mudah apabila pasangan nombor tujuh dunia itu dipaksa bekerja keras sebelum membenam Treesa Jolly-Gayatri Gopichand di Odense.
Juara Terbuka Hong Kong itu bangkit daripada ketinggalan setelah tewas pada set pertama 19-21 kepada pasangan dari India tersebut yang berada di kedudukan ke-21 dunia.
Pearly-Thinaah kemudian memperkemaskan corak permainan biarpun ditentang sengit Treesa-Gayatri untuk menang 21-17 bagi mengheret aksi ke set penentuan.
Enggan menoleh ke belakang, pasangan negara meneruskan momentum positif untuk mengesahkan kemenangan 21-15 pada kejohanan berstatus Super 750 itu.
Menerusi kemenangan tersebut melebarkan rekod kemenangan Pearly-Thinaah kepada 5-1 ke atas Treesa-Gayatri.
Mereka terlepas saingan Terbuka Denmark tahun lalu selepas menarik diri susulan kecederaan belakang yang dialami Pearly.
Pearly-Thinaah menamatkan kemarau kemenangan di jelajah dunia yang kali terakhir diperoleh hampir dua tahun lalu setelah mengejutkan pasangan nombor tiga dunia dari China, Liu Sheng Shu-Tan Ning 21-14, 21-14 bulan lalu.
Dalam saingan pusingan kedua pada Khamis, pasangan negara akan menentang pemenang antara gandingan adik beradik Moa-Tilda Sjoo dari Denmark atau pasangan Taiwan, Sung Shuo Yun-Yu Chien Hui.