PETALING JAYA: Petronas Chemicals Group Berhad (PCG) mencatatkan keuntungan bersih sebanyak RM668 juta bagi suku pertama tahun kewangan berakhir 31 Disember 2024, meningkat berbanding RM532 juta yang direkodkan setahun sebelumnya.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, kumpulan meraih pendapatan lebih rendah dalam suku tinjauan iaitu RM7.49 bilion berbanding RM7.55 bilion pada suku pertama 2023.

PCG dalam kenyataan berkata, kumpulan meraih untung bersih lebih tinggi dipacu peningkatan dalam purata harga produk tertentu pada suku tinjauan berbanding suku sebelumnya dalam sektor kimia berikutan pemulihan permintaan bermusim di samping kemerosotan industri semasa.

Kumpulan mengaitkan peningkatan keuntungan kepada kos operasi yang lebih rendah, penyebaran etilena dan aromatik yang lebih tinggi, serta prestasi yang lebih baik daripada segmen kimia khususnya.

“Pendapatan meningkat sebanyak 4.0 peratus kepada RM7.5 bilion berbanding RM7.2 bilion bagi suku keempat 2023 (S4 2023) dengan sokongan daripada dolar Amerika Syarikat (AS) yang lebih kukuh berbanding mata wang tempatan dan jumlah yang lebih tinggi daripada Kompleks Bersepadu Pengerang (PIC).

“Perolehan Sebelum Faedah, Percukaian, Susut Nilai dan Pelunasan (EBITDA) melonjak sebanyak 77 peratus kepada RM1.2 bilion (S4 2023: RM655 juta) disebabkan oleh kos bahan api, tenaga, utiliti dan penyelenggaraan yang lebih rendah, penyebaran produk yang lebih tinggi.

“Ia juga didorong sumbangan yang lebih tinggi daripada Kumpulan Perstorp, serta kesan pertukaran asing yang positif. Margin EBITDA pada suku tersebut berkembang kepada 16 peratus (S4 2023: 9.0 peratus).

“PAT juga telah meningkat lebih daripada empat kali ganda kepada RM703 juta (S4 2023: RM142 juta) selaras dengan EBITDA yang lebih tinggi dan keuntungan pertukaran asing yang tidak direalisasi,” menurut kenyataan.

Kadar penggunaan loji dicatatkan pada 87 peratus (S4 2023: 84 peratus) pada suku tersebut
telah menyumbang kepada peningkatan marginal dalam jumlah pengeluaran.

Mengulas mengenai keputusan tersebut, Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif PCG, Mazuin Ismail berkata, prestasi suku tersebut diraih setelah pihaknya menstabilkan kadar penggunaan loji dan jumlah pengeluaran.

Jelasnya, kepelbagaian portfolio produk menjadi penyumbang utama melalui peningkatan dalam segmen Olefin dan Derivatif (O&D) yang membantu mengatasi penurunan purata harga produk dalam segmen Baja dan Metanol (F&M).

“Kami akan memberi tumpuan segera dalam memastikan kapasiti pengeluaran kami untuk semua segmen beroperasi pada kadar optimum dan berjalan lancar. Lima daripada loji kami
dalam segmen O&D dan F&M dijadualkan menjalani penyelenggaraan berkanun pada tahun ini.

“Pada suku pertama 2024, kami telah melengkapkan aktiviti pemulihan di PC Fertiliser Kedah di samping aktiviti penyelenggaraan di beberapa loji lain,” ujarnya.

Mengenai prospek pasaran, beliau berkata, pihaknya menjangkakan pergerakan harga produk
akan bercampur menjelang suku kedua dengan beberapa produk O&D seperti etilena dan aromatik yang menunjukkan peningkatan dalam had bekalan manakala tiada perubahan dijangka bagi yang lain.

“Permintaan urea telah menyederhana disebabkan penangguhan musim penanaman serantau lantaran cuaca yang panas, manakala metanol kekal rendah berikutan permintaan hiliran yang berkurangan.

“Di samping itu, kami juga menjangkakan prospek berbeza bagi segmen kimia khusus selaras dengan sektor pembinaan yang terus bergelut dengan pertumbuhan infrastruktur yang perlahan dan kadar faedah yang tinggi, namun demikian produk yang menjurus ke arah sektor automotif mungkin akan melihat permintaan yang lebih baik,” katanya.

Tambah beliau, PCG kekal berhati-hati terhadap ketegangan geopolitik berterusan yang menyumbang kepada ketidaktentuan harga tenaga dan bahan mentah serta persekitaran makroekonomi yang tidak menentu.

“Sehubungan itu, kami juga menyedari potensi impak daripada kapasiti baharu yang menembus pasaran, dan ini akan menyumbang kepada lebihan bekalan yang dijangka berterusan dalam memberi tekanan kepada harga dan margin produk,” katanya. – UTUSAN





Source link

Leave a Reply