KANGAR: Pasukan sukarelawan bomba wajar diwujudkan segera di kampung-kampung nelayan yang terdapat di Kuala Perlis dan juga tempat-tempat lain di negeri ini.

.Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, ‘Furphy Water Cart’ itu juga patut disediakan di lokasi-lokasi strategik dalam kawasan terbabit.

Baginda bertitiah demikian selepas berkenan berangkat meninjau Kampung Seberang Alor yang merupakan sebahagian daripada kawasan Projek Transformasi Diraja Kampung Nelayan Warna Warni Seberang Ramai Kuala Perlis dan sebuah bengkel kenderaan di Kampung Guru, Kangar yang musnah dalam kebakaran baru-baru ini.

Berangkat sama, Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Dalam kejadia itu, sebuah rumah di Kampung Seberang Alor musnah sepenuhnya manakala dua buah rumah berdekatan turut terkesan yang melibatkan 22 orang daripada tiga buah keluarga.

Manakala kebakaran di bengkel kenderaan pula telah memusnahkan sembilan buah kereta dan tiga motosikal yang berpunca daripada belukar berhampiran terbakar dan merebak ke premis tersebut.

Tiada sebarang kemalangan jiwa yang dilaporkan dalam dua insiden kebakaran yang berlaku ini.

Seterusnya Tuanku Syed Faizuddin berharap agar semua mangsa dan keluarga sentiasa bersabar dan tabah menghadapi situasi sukar ini.

Baginda turut bertitah menasihatkan kepada semua rakyat agar sentiasa mengambil langkah perlu ketika musim kemarau ini.

“Ia terutamanya dengan mengawal selia pembakaran yang berkemungkinan berlaku di dalam kawasan kediaman masing-masing dan sentiasa berjaga-jaga walaupun terhadap sebarang kebakaran kecil.

“Tindakan melaporkan kepada pihak Bomba dan pihak bertanggungjawab hendaklah segera dilaksanakan bagi mengawal kemungkinan berlakunya kebakaran besar,” titah baginda.-UTUSAN





Source link

Leave a Reply