PARLIMEN: Wan Saiful dakwa ditawar RM1.7j sokong Anwar


KUALA LUMPUR: Seorang ahli Parlimen pembangkang mendakwa beberapa kali diajak malah ditawar RM1.7 juta peruntukan kawasan supaya mengalihkan sokongannya kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, keadaan itu bermula selepas beliau menang di kawasannya pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) lalu sehingga berdepan siasatan dan pendakwaan jenayah oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Bekas Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu berkata, beliau dihubungi beberapa kali melalui telefon oleh individu berkenaan sehingga mendorongnya untuk bertemu di hotel di beberapa lokasi. 

Bagaimanapun, beliau menjelaskan, individu-individu tersebut bukan dalam kalangan ahli Parlimen kerajaan. 

“Saya langsung tidak menyangka hal ini akan dilakukan kepada saya. Saya mahu umum bahawa saya beberapa kali diajak malah diugut supaya sokong Perdana Menteri. Bertubi-tubi saya dihubungi hingga saya putuskan untuk berjumpa. 

“Pertemuan pertama pada 17 Januari 2024 di Hotel The Westin, Bukit Bintang kemudian di Hotel JW Marriot. Selepas itu saya diam. Sehingga pada istiadat pembukaan Parlimen Isnin lalu, saya didekati sekali lagi pada hari sama waktu petang untuk berjumpa di Hotel Corus, Jalan Ampang. 

“Pada tengah malam Isnin, mereka bertemu saya di Hotel Saujana, Subang Jaya. Saya terpaksa layan sebab saya bimbang kerana mereka ada kuasa dan tidak boleh jangka apa mereka boleh lakukan kepada saya. 

“Saya ada rekod, semua penjelasan saya ini jangan cuba dipersoal, nanti saya dedahkan satu persatu,” katanya semasa perbahasan usul menjunjung kasih titah diraja di Dewan Rakyat, hari ini. 

Ekoran dakwaan tersebut, mesyuarat Dewan Rakyat terus berada dalam keadaan tidak terkawal menyaksikan ahli-ahli Parlimen kerajaan berang kerana tuduhan tersebut berniat jahat untuk menjejaskan imej kerajaan semasa.  

Wan Saiful berkata, beliau yakin beberapa individu yang bertemu tidak menggunakan nama sebenar seperti ‘Rahim, Arman dan Hasnan.’ 

“Kadang-kadang apabila mereka bercakap antara satu sama lain, namanya lain pula. Kadang-kadang dia terlupa apa nama yang dipakainya. 

“Namun, ada nama yang diulang berkali-kali iaitu ‘Farhan’ seolah-olah dia punca kuasa. Dalam pertemuan itu mesejnya ialah saya mesti sokong Ahli Parlimen Tambun sebagai Perdana Menteri dan sebagai balasan dan habuan diberi kepada saya ialah peruntukan RM1.7 juta,” katanya. 

Bagaimanapun, Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer bangkit membantah dakwaan tersebut menggunakan Perkara 36(6) Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat berhubung sangkaan jahat. 

“Sebagai penyokong kerajaan, saya tidak akan biarkan pembangkang membuat kenyataan seperti ini. Kalau berani, buat laporan kepada SPRM-lah,” katanya. 

Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul memutuskan kenyataan Wan Saiful adalah sangkaan tidak baik kerana tiada siapa dapat memastikan sama ada individu berkenaan ‘wujud’ atau benar-benar dalam kalangan penyokong kerajaan. 

“Kita tidak tahu mereka ini wujud atau berlakon seperti penyokong. Jadi, jangan (teruskan), hentikan naratif ini (dalam Dewan),” katanya. – UTUSAN





Source link

Leave a Reply