GEORGE TOWN : Angin kencang dan air pasang besar yang menyebabkan berlakunya ombak kuat telah menghentam kawasan pesisir pantai di sekitar negeri ini termasuk di kawasan tumpuan ramai seperti di Esplanade atau lebih dikenali sebagai Padang Kota Lama.

Tinjauan Utusan Malaysia mendapati, walaupun dibadai ombak kuat sehingga mengakibatkan air laut melimpahi hingga ke kawasan tembok Padang Kota Lama, orang ramai tetap berkunjung ke kawasan berkenaan.

Selain mengambil gambar dan video fenomena ombak kuat tersebut, mereka bagaimanapun dilihat masih berwaspada dengan keadaan ombak ketika ini.

Difahamkan, keadaan air pasang besar juga dikesan berlaku pada masa ini, di mana paras air laut direkodkan berada pada paras antara 1.8 meter hingga 2 meter tinggi.

Seorang pengunjung, Mahmad Samad, 60, berkata, sejak semalam, dia telah berada di sekitar Padang Kota Lama untuk melihat fenomena ombak besar itu.

“Semalam lagi teruk di mana air laut melimpah dengan banyak di kawasan Padang Kota Lama. Hari ini ombak agak kuat namun tidak seteruk semalam. Saya berada di sini untuk melihat keadaan ombak kerana fenomena ini jarang-jarang berlaku,” katanya di sini, hari ini.

KEADAAN ombak kuat yang membadai kawasan Padang Kota Lama, Pulau Pinang, hari ini.

Dalam pada itu, seorang lagi pengunjung yang juga merupakan seorang pelajar di sebuah universiti awam, Muhammad Bukhari Bakri, 23, berkata, dia mengambil kesempatan untuk berkunjung ke Pulau Pinang memandangkan dia sedang bercuti semester ketika ini.

“Saya sentiasa mengambil maklum dengan keadaan cuaca terkini dan memang ada amaran ombak kuat dan angin kencang pada masa ini.

“Jadi, saya ambil kesempatan untuk merakamkan video dan mengambil gambar ombak kuat yang melanda Padang Kota Lama untuk kenang-kenangan,” katanya.

Sementara itu, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Datuk Ir. A.Rajendran berkata, tembok penahan ombak yang dibina di Padang Kota Lama adalah kukuh dan direka bentuk untuk mampu menahan ombak sehingga 2 atau 2.5 meter.

“Ombak pada masa ini memang agak tinggi, namun tembok penahan ombak di Padang Kota Lama adalah selamat kukuh walaupun ombak setinggi 2.5 meter, jadi orang ramai tidak perlu bimbang ketika berada di kawasan ini.

“Hanya berlaku limpahan air ombak di kawasan Medan Renong di Padang Kota Lama semalam dan ia berlaku akibat angin kencang dan air laut tinggi,” katanya.-UTUSAN

 





Source link

Leave a Reply