KUALA LUMPUR: Pelumba trek negara, Nurul Izzah Izzati Mohd Asri mencipta kegemparan dengan mengakhiri kemarau emas selama 12 tahun dalam acara keirin wanita untuk Malaysia di Kejohanan Basikal Trek Asia 2024 (ACC) di New Delhi, India hari ini.
Pelumba berusia 20 tahun itu menunjukkan prestasi yang hebat untuk mengatasi Tong Mengqi dari China yang meraih tempat perak manakala seorang lagi pelumba wanita Malaysia, Anis Amira Rosidi, memenangi pingat gangsa dalam pertandingan di Velodrom Indira Gandhi.
Kejayaan Nurul Izzah pada hari kelima kejohanan melihatnya menambah lagi pingat ke koleksi beliau selepas meraih gangsa dalam acara sprin wanita pada hari Jumaat dan perak dalam acara berpasukan wanita bersama Anis Amira dan Nurul Aliana Syafika Azizan pada hari Rabu.
Kali terakhir Malaysia meraih emas dalam acara keirin wanita adalah pada edisi 2012 di Velodrom Cheras, di sini, melalui Fatehah Mustapa. – Bernama