PARIS: Pelumba para nasional Nur Azlia Syafinaz Mohd Zais dan rakan sepasukannya Nurul Suhada Zainal hanya berjaya menamatkan enam pusingan dalam perlumbaan jalan raya wanita B (cacat penglihatan) di Sukan Paralimpik Paris 2024.
Jurulatih lumba para negara, Salehuddin Mohd Noh, menyatakan bahawa pasukan negara tidak sempat untuk menyelesaikan pusingan ketujuh selepas pasangan dari Great Britain, Sophie Unwin-Jenny Holl, menamatkan perlumbaan sejauh 99.4 kilometer (km) di Clichy-sous-bois dengan catatan masa 2 jam 37 minit dan 26 saat (s) untuk meraih pingat emas.
“Nur Azlia Syafinaz-Nurul Suhada tidak berjaya menamatkan pusingan ketujuh kerana pasangan dari Great Britain tersebut telah melintasi garisan penamat selepas menamatkan pusingan terakhir,” katanya kepada Bernama.
Pingat perak dimenangi oleh Katie-George Dunlevy-Linda Kelly dari Ireland (2:37:29s) dan pingat gangsa diraih oleh Lora Fachie-Corrine Hall dari Great Britain (2:39:01s).
Cabaran Malaysia dalam acara lumba basikal akan diteruskan dalam perlumbaan jalan raya lelaki C1-3 (cacat fizikal) yang juga berlangsung di Clichy-sous-bois, esok dengan Mohamad Yuso Hafizi Shaharudin dan Muhammad Adi Raimie Amizazahan menerajui perjuangan.
Sukan Paralimpik Paris 2024 yang bermula pada 28 Ogos dijadualkan berakhir pada hari Ahad.