NGO redah banjir ‘termenung’ agih bantuan undang sebak penerima


RANTAU PANJANG: Kesungguhan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dari Pertubuhan Kebajikan Sanggar Suri Malaysia yang sanggup meredah banjir ‘termenung’ untuk mengagihkan bantuan mengundang rasa sebak dalam kalangan penduduk Kampung Bakat di sini selepas menerima sumbangan itu.

Rata-rata penerima menyifatkan bantuan itu sebagai ‘rezeki terpijak’ sejurus dibenarkan pulang walaupun kawasan pekarangan rumah masih ditenggelami banjir.

Seorang penerima Roslina Che Abu Bakar, 46, berkata, bantuan yang dihulurkan itu amat bermakna buat dia dan keluarga memandangkan baharu sahaja pulang dari berlindung di pusat pemindahan sementara (PPS).

“Hari ini baru pulang dari PPS, tiba-tiba ada bantuan sampai ke tangga rumah.

“Syukur Alhamdulillah, bantuan ini sedikit sebanyak dapat meringankan beban kami,” katanya ditemui pemberita pada Program  Misi Monsun Timur Laut (MTL) Kelantan 2023 Fasa Dua oleh Pertubuhan Kebajikan Sanggar Suri Malaysia di sini hari ini.

Seorang lagi penerima, Che Mohd. Rozi Che Abu Bakar, 48, memberitahu, dia berterima kasih kepada NGO berkenaan yang sanggup meredah banjir untuk menghantar bantuan makanan kepada penduduk di sini.

Katanya, bantuan pasca banjir itu sangat bermakna memandangkan sudah dua kali mereka berpindah ke PPS selepas Kampung Bakat dilanda banjir.

Sementara itu, Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Sanggar Suri Malaysia, Norlaili Talib berkata, sebanyak 300 pek makanan diagihkan dari rumah ke rumah membabitkan  10 kampung yang terjejas banjir di Rantau Panjang.

“Kampung terlibat antaranya kampung Kusar, kampung Kok Kiyeh, Kampung Bakat dan beberapa kampung lagi.

“Alhamdulillah, misi bantuan kali ini turut disertai Yayasan Aeon Malaysia, Yayasan Food Bank Malaysia dan kerjasama Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kelantan,” ujarnya.-UTUSAN

 





Source link

Leave a Reply