KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Tun Razak tidak bersetuju jika syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan pelaburan berkaitan bertujuan dijadikan alat untuk manfaat peribadi dan kepentingan parti UMNO.
Bekas Perdana Menteri itu merujuk kepada keterangan bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Mohd. Hazem Abdul Rahman sebelum ini yang mendakwa projek berkaitan syarikat itu adalah untuk mendapatkan dana bagi Najib dan UMNO.
Kata Najib, sebarang kelulusan yang diberikan kepada syarikat tersebut adalah berdasarkan cadangan yang dikemukakan oleh syarikat itu sendiri setelah perbincangan menyeluruh di peringkat lembaga pengarah.
“Saya dengan tegas tidak bersetuju dengan dakwaan bahawa 1MDB atau usaha samanya diwujudkan untuk manfaat saya atau UMNO.
“Kelulusan diberikan berdasarkan cadangan dikemukakan syarikat itu setelah perbincangan menyeluruh lembaga pengarah terhadap cadangan dibawa entiti sah seperti Aabar Investments PJS dan IPIC (International Petroleum Investment Company) berdasarkan nasihat daripada penasihat berwibawa seperti Goldman Sachs, Lazard, BSI Bank, dan Baker & McKenzie,” katanya.
Najib berkata demikian ketika memberikan keterangan membela diri peringkat pemeriksaan utama oleh peguam belanya, Wan Azwan Aiman Wan Fakhruddin di Mahkamah Tinggi di sini hari ini.
Sebelum ini, Mohd. Hazem ketika dipanggil menjadi saksi pendakwaan ke-10 memaklumkan bahawa ahli perniagaan dalam buruan, Jho Low atau Low Taek Jho merupakan individu mengatur semua keputusan dan pelaburan luar negara yang membabitkan projek 1MDB untuk dijadikan sebagai alat mendapat dana bagi Najib dan UMNO.
Mengulas lanjut, Najib berkata, segala masalah berlaku dalam 1MDB adalah kegagalan sistem dalam pelaksanaan keputusan sejak pengurusan Ketua Pegawai Eksekutif bermula daripada Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi sehingga Mohd. Hazem.
“Saya teringat keterangan Hazem Rahman di mahkamah di mana beliau mengakui bahawa beliau ditempatkan dalam pengurusan untuk melaksanakan arahan Jho Low.
“Beliau juga mengakui secara khusus bahawa berkaitan dengan pengumpulan $AS3 bilion untuk 1MDB Global Investment Limited, di mana beliau ditempatkan di sana sebagai pengarah hanya untuk menandatangani setiap dokumen yang diletakkan di hadapannya atas arahan Jho Low dan proksinya, Jasmine Loo (peguam 1MDB) dan Terrence Geh (Pengarah Kewangan 1MDB),” katanya.
Menurut Najib, perkara itu merupakan pengakuan yang dibuat di mahkamah oleh Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB itu sendiri yang mengakui bahawa dia terpaksa mengikuti arahan Jho Low dan proksinya.
Kata bekas Presiden UMNO, beliau mendapati adalah sukar untuk mempercayai bahawa dakwaan sama oleh saksi itu agar diberikan sebarang kredibiliti, terutamanya selepas mengakui bertindak bertentangan dengan perjanjian usaha sama.
“Dan selama berbulan-bulan menyembunyikan pemindahan dana yang sama ke dalam tiga dana fidusiari yang tidak dibenarkan daripada pengetahuan lembaga pengarah. Beliau juga menyesatkan lembaga dengan membuat mereka percaya bahawa dana tersebut disimpan dengan selamat di UBS Bank,” katanya.
Najib kemudian merasa hairan bahawa tuduhan serius melibatkan korupsi tahap tertinggi langsung tidak ditanya penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) semasa merakam kenyataan sekali gus mengesyaki dakwaan itu hanya direka kemudian untuk menyelamatkan kredibiliti Mohd. Hazem yang sudah tercemar.
“Memandangkan pengakuannya tentang pemalsuan, pelbagai tindakan pecah amanah jenayah, dan pelanggaran tanggungjawab fidusiari sebagai seorang pengarah,” katanya.
Bekas Ahli Parlimen Pekan itu kini sedang memberi keterangan bela diri atas 25 pertuduhan membabitkan penyelewengan dana RM2.3 bilion 1MDB yang memasuki hari ketujuh di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Collin Lawrence Sequerah (kini Hakim Mahkamah Rayuan). – UTUSAN