Gelombang pertama musim durian di Pulau Pinang dijangka berlangsung sehingga awal Jun, diikuti oleh gelombang kedua antara pertengahan Jun dan Julai.
Timbalan Menteri Pelancongan dan Ekonomi Kreatif, Wong Hon Wai berkata, tahun ini, musim durian di Pulau Pinang akan melalui gelombang ketiga yang dijangka bermula dari Ogos sehingga September seterusnya.
“Saya difahamkan daripada pemilik ladang durian bahawa tahun ini kita mungkin mengalami tiga gelombang menuai durian kerana mereka sudah mula gugur, menunjukkan bahawa musim ini berpotensi untuk lebih panjang dengan lebih banyak bekalan durian,” katanya semasa Upacara Pelancaran Musim Durian Pulau Pinang di Fort Cornwallis berhampiran Jalan Padang Kota Lama, semalam.
Mengulas lanjut, Hon Wai memberitahu bahawa Pulau Pinang menghasilkan pelbagai jenis durian termasuk Black Thorn, Red Prawn (Ang Hae) dan Musang King yang menjadi pilihan ramai setiap kali musim durian tiba.
“Pada masa ini, varieti 604, Ting Xiang, Xiao Hong, Khun Poh, Musang King, dan Black Thorn telah mula ‘gugur’ dari pokok.
“Yang membuat durian Pulau Pinang istimewa adalah ia masak secara semulajadi.
“Kita tidak menggunakan kaedah buatan untuk memaksa buah itu masak untuk memastikan setiap durian yang dicuba adalah asli dengan nutrisinya.